- Jangan menjadi tukang sepah dan bersikap pengotor. Setelah membuka baju, letakkan ke dalam bakul baju yang kotor. Apabila menggunakan pencungkil gigi, buanglah ke dalam bakul sampah. Apabila menggunakan ubat gigi, tutup balik penutupnya. Apabila ambil sesuatu barang, simpan balik di tempat asalnya.
- Rajin-rajinlah bertanya kepada isteri kalau-kalau dia perlukan bantuan. Jangan pula bertanya dua tahun sekali atau sekadar tunjuk rajin apabila ada tetamu di rumah saja.
- Hormatilah isteri sebagaimana kita mahu dihormati. Isteri pun manusia juga. Bahkan Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri.
- Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Bayangkan kalau isteri anda yang buat demikian, mampukah anda menerima?
- Kalau tidak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik. Jangan asyik menengking saja.
- Kalau isteri kelihatan kurang sihat, cepat-cepatlah bawa berjumpa doktor. Tunjukkan anda mengambil berat tentang dirinya.
- Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami ada kuasa veto, tidak hilang bisa itu kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah bertimbang rasa dan saling menghargai.
- Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kita mahu seluruh ahli keluarga kita masuk syurga dan kita juga mahu benteng seluruh ahli keluarga kita daripada api neraka.
- Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga. Jangan lakukan apa-apa yang isteri tidak suka. Percayalah, kalau suami berbuat baik sekali dengan isteri, biasanya isteri akan membalas dengan 10 kali kebaikan pula.
- Jangan abaikan isteri yang merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, mintalah maaf. Kalau perlu dipujuk, pujuklah. Hati wanita sensitif. Kadangkala sikap tidak ambil peduli suami bagaikan menghiris-hiris hati isteri.