December 9, 2023
KEKELUARGAAN Wanita & Keluarga

20 Pesanan Buat Suami- Siri 1

  1. Selalu menghargai usaha dan penat lelah isteri, terutamanya isteri yang bekerja dan sama-sama menanggung perbelanjaan keluarga dan hutang suami.
  2. Apabila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan dengar baik-baik. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil itu, otak suami perlulah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak dan prihatin.
  3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan dan cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda.
  4. Jangan memaksa isteri melakukan hubungan intim sekiranya isteri letih atau tiada mood. Agama menggalakkan yang bujang berkahwin bukan semata-mata untuk kita penuhi nafsu syahwat semata-mata.
  5. Kalau sudah ada anak, sama-samalah pikul tanggungjawab menjaga anak. Ada sesetengah suami, isteri yang sedang makan pun disuruh cebok kencing dan berak anak. Sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan seperti seorang maharaja.
  6. Sekiranya suami makan terlebih dahulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri. Jangan bedal semua sehingga apabila tiba giliran isteri, yang tinggal hanyalah ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.
  7. Kalau mahu mengajak tetamu bertandang ke rumah, beritahu isteri dulu. Jika boleh sehari dua sebelum tetamu bertandang. Jadi bolehlah isteri memasak makanan yang sedap-sedap dan mengemas rumah kemas-kemas. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu sudah datang, sedangkan kain baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma hidang air minum sahaja.
  8. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Suami juga perlu melihat badan sendiri dalam cermin dulu.
  9. Hormatilah ibu bapa dan kaum keluarga isteri. Jangan sekali-kali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
  10. Jangan kedekut dengan isteri akan keperluan rumah tangga. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda. Selalunya wanita ini sifatnya, semakin suami “degil” tidak mahu meminta pertolongan, selagi itulah dia rela mahu menolong.
Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah dalah Pakar Motivasi & komunikasi menyebabkan beliau sering muncul di kaca TV, corong radio dan dada akhbar untuk memberikan kata-kata motivasi dan memperkatakan isu-isu kehidupan yang meliputi pembelajaran, kekeluargaan, perceraian dan perkahwinan. Malah beliau juga merupakan seorang penulis buku motivasi dan penulis novel.
Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?