Umat Islam telah menghadapi pelbagai situasi perpecahan, kemunduran dan ditimpa pelbagai penyakit yang mereka tidak tahu jalan keluarnya. Maka mizan yang diturunkan oleh Allah bersama al-Quran merupakan pengubat kepada masalah umat Islam dan manusia amnya.
Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka kitab suci dan mizan (neraca keadilan) supaya manusia dapat memacu kesaksamaan…” (Surah al-Hadid 57: 25)
Kitab suci yang dimaksudkan ialah kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul pilihan seperti Zabur kepada Nabi Daud a.s., Taurat kepada Nabi Musa a.s. dan Injil kepada Nabi Isa a.s. Manakala bagi Nabi Muhammad s.a.w. ialah al-Quran, termasuk juga sunnah.
Timbangan Syarak
Jika diteliti ayat di atas, tidak cukup dengan al-Quran sahaja sebenarnya kerana ia memerlukan bersamanya mizan yang juga terkandung dalam al-Quran itu sendiri. Mizan ini maksudnya timbangan syarak.
Apabila umat Islam hilang timbangan yang tepat umpama kehidupan harian manusia yang hilang alat penimbang. Bagaimana mahu menyukat kuantiti air? Apa ukuran timbangan beras dan gula? Pasti sulit dan pincang kehidupan manusia.
Sekiranya Allah s.w.t. menurunkan dan menjadikan setiap sesuatu benda yang berbentuk fizikal itu ada mizan timbangan dan mempunyai sukatannya, mana mungkin Dia tidak turunkan mizan dalam syariat, akidah dan agama Islam.
Mizan sangat diperlukan bagi membolehkan umat Islam dapat mengenal pasti kebenaran dan kita menimbang setiap perkara itu pada timbangan yang tepat. Jadi, manusia perlu menggunakan neraca piawaian kefahaman al-Quran dan sunnah serta menolak kepincangan kefahaman dan perpecahan.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.