December 11, 2024
Akidah WAHYU

Al-Razzaq: Rezeki yang Terbentang Luas

Allah berfirman:

Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya. (Surah al-Zariyat 51: 58)

Allah kerap kali mengingatkan sekalian hamba-Nya dalam banyak ayat al-Quran bahawa Dialah Pemberi rezeki serta yang menjamin keperluan mereka. Ayat-ayat tersebut diturunkan dengan dua tujuan:

  • Mengingatkan tentang kurnia dan anugerah Allah.
  • Menyeru manusia agar berbuat taat, kebaikan dan kebajikan.

Definisi

Nama Allah al-Razzaq merupakan perkataan yang datang dalam bentuk hiperbola (صيغة المبالغة) dengan membawa maksud Allah Yang Memiliki banyak rezeki. Rezeki itu pula terdiri daripada apa-apa yang boleh dimanfaatkan juga merupakan satu pemberian atau kurniaan (al-Wasit).

Terdapat dua jenis rezeki yang perlu kita fahami iaitu rezeki umum dan rezeki khusus. Berikut merupakan penjelasannya:

  Rezeki Umum Rezeki Khusus
Huraian
  • Apa-apa sahaja yang diperlukan oleh makhluk untuk meneruskan kehidupan.
  •  Ia telah dipermudahkan Allah kepada manusia, jin, haiwan dan tumbuhan bagi mendapatkan bahagian rezeki masing-masing.
  • Termasuk juga mereka yang baik, jahat, kafir dan Muslim.

Rezeki yang bermanfaat secara berterusan di dunia dan akhirat iaitu:

  • Rezeki yang halal dan baik (حلالا طيبا).
  • Menjadi perantaraan bagi bertambahnya amal ibadat kepada Allah s.w.t.
  • Rezeki hati yang dipenuhi dengan ilmu dan iman. Juga terisi dengan makrifah, hidayah, amal soleh dan akhlak yang baik. (Al-Haqq al-Wadih)
Dalil

“Tiap-tiap golongan daripada kedua-duanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (daripada sesiapa pun).” (Surah al-Isra’ 17: 20)

“Wahai rasul-rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mu’minun 23: 51)

Keindahan Al-Razzaq

Allah berfirman:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Ankabut 29: 60)

Allah s.w.t. yang menentukan rezekinya walaupun ianya lemah dan dipermudahkan rezeki untuknya. Dia menyediakan rezeki kepada setiap makhluk dalam bentuk yang sesuai; kepada semut di bahagian dalam bumi, burung di udara dan ikan di laut.

Bermaksud binatang ini tidak mampu untuk mengumpul rezekinya dan menyimpannya untuk esok hari.

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim telah menghuraikan ayat di atas dengan perbahasan yang cukup memberi kesan kepada hati sebagaimana rajah di atas. Jadi, apakah yang terlintas di fikiran kita selepas membaca huraian tersebut?

Cuba kita renung sekecil-kecil ciptaan Allah seperti semut. Jumlahnya terlalu banyak dan dianggarkan sebanyak 10 kuadrilion (10,000,000,000,000,000) ekor semut yang ada di seluruh dunia kecuali di Antartika. Walaupun saiznya kecil, rezeki bagi setiap ekor semut itu pun sudah ditentukan oleh Allah s.w.t.

Misalnya, butiran nasi yang asalnya merupakan rezeki kita, kadangkala ketika menjamahnya ia terjatuh ke atas tanah. Kemudian, ia menjadi rezeki bagi semut pula. Begitu juga dengan gula yang disimpan di dalam bekas di dapur, tiba-tiba dihurung semut kerana penutupnya tidak ditutup rapat.

Betapa indahnya kuasa al-Razzaq yang menginsafkan kita dan menyedarkan bahawa tidak semua rezeki yang disangka milik kita itu menjadi milik kita. Begitulah keluasan rezeki yang telah dijamin oleh Allah kepada semua makhluk-Nya.

Kejar Akhirat, Dunia Akan Mengejar Kita

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Sesiapa yang tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran di kedua-dua pelupuk matanya, dan dia tidak mendapat dunia kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya. Sesiapa yang tujuan hidupnya adalah negeri akhirat, Allah akan mengumpulkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina. (Riwayat Ibn Majah)

Fitrah manusia sememangnya tertarik kepada harta benda yang hanyalah secebis sahaja daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada manusia. Namun begitu, harta tersebut tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sebaliknya apa yang akan dipikul pada hari akhirat nanti ialah “harta” yang bermanfaat iaitu amal soleh.

Maka, benarlah firman Allah,

(Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Surah al-A‘la 87: 16-17)

Justeru, manfaatkan dunia untuk akhirat. Insya-Allah kita akan mendapat kedua-duanya.

Petikan: Indahnya kuasa al-Razzaq yang menyedarkan kita bahawa tidak semua rezeki yang disangka milik kita itu menjadi milik kita. Bahkan rezeki telah dijamin oleh Allah kepada semua makhluk-Nya.

Tip Beramal dengan Nama Allah al-Razzaq

1.       Mengetahui bahawa yang Maha Pemberi Rezeki itu hanyalah Allah s.w.t. dan tiada selain-Nya. Jadi, manusia dikehendaki berusaha dan selebihnya bertawakal kepada Allah.

2.       Bersyukur atas apa jua rezeki yang dikurniakan oleh Allah dan istiqamah dengan mentaati-Nya. Ini disebabkan rasa syukur itu merupakan kunci bagi segala kebaikan.

3.       Mengamalkan doa dengan nama al-Razzaq, sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Antaranya doa sebelum memulakan persetubuhan bagi suami isteri.

بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami (anak).”

Nabi s.a.w. bersabda,

Seandainya daripada hubungan itu menghasilkan anak, maka anak itu tidak akan dibahayakan oleh syaitan. (Riwayat al-Bukhari)

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?