Allah berfirman:
Maksudnya: “Patutkah mereka menyembah tuhan selain Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Bawalah bukti kamu; al-Quran ini menjadi peringatan pengikutku, juga sebagai peringatan umat sebelumku.’ Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui yang benar, maka sebab itulah mereka berpaling (ingkar).” (Surah al-Anbiya’ 21: 24) |
Dalam ayat 21 surah yang sama, Allah mempersoalkan sumber ambilan bahan sembahan golongan musyrik. Berhala itu ada yang dipungut dari muka bumi, lantas dipuja. Dalam ayat ini pula, Allah mengulang keingkaran mereka dalam bentuk soalan: “Patutkah mereka menyembah tuhan selain Allah?”
Soalan ini tidak mati di situ, bahkan Allah meminta Nabi Muhammad mencabar golongan musyrik supaya membawakan bukti yang membenarkan perbuatan mensyirikkan Allah itu menerusi firman-Nya:
Maksudnya: “Patutkah mereka menyembah tuhan selain Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Bawalah bukti kamu.’” (Surah al-Anbiya’ 21: 24)
Bukti yang Allah minta ini boleh jadi apa-apa sahaja. Tidak kiralah dalam bentuk hujah, bukti yang nyata dari alam semesta dan lain-lain. Hujah atau bukti itu pula boleh datang dalam bentuk hujah naqli atau akli.
Dalil Pegangan
Namun, apakah realiti sebenar di sebalik cabaran yang Allah berikan ini? Realitinya, golongan yang ingkar itu tidak mampu berikan bukti atau hujah bagi tindakan mereka yang menyembah selain Allah. Sebabnya:
- Tidak disebut dalam kitab-kitab samawi selain al-Quran tentang keharusan menyekutukan Allah. Bahkan yang disebut dalam Taurat dan Injil misalnya adalah perintah supaya mengesakan Allah dan menekankan kepentingan tauhid dalam kehidupan seharian.
- Mengikut logik akal juga, tidak masuk akal ada dua tuhan. Ini kerana tuhan sepatutnya maha berkuasa. Apabila tuhan sudah berbilang-bilang, itu bermakna kuasa tuhan itu juga terbahagi kepada tuhan-tuhan yang ada. Mengikut konteks berbilang-bilang ilah ini, kuasa tuhan itu bukan lagi tuhan mutlak.
Cabaran yang Allah ketengahkan ini memberi mesej kepada kita bahawa untuk kita menegakkan sesuatu kepercayaan, mestilah ada dalil dan alasannya. Kepercayaan tidak boleh diasaskan atas dasar rasa-rasa, agak-agak atau ikut-ikutan.
Wahyu untuk Umat Terakhir
Tanpa menunggu, Allah juga meminta Nabi Muhammad menjelaskan hakikat ketauhidan sebenar yang jelas diterangkan dalam sebuah kitab iaitu al-Quran:
Maksudnya: “Al-Quran ini menjadi peringatan pengikutku (Muhammad), juga sebagai peringatan umat sebelumku.’” (Surah al-Anbiya’ 21: 24)
Ini bermakna ajaran yang Rasulullah bawa bukanlah ajaran baharu. Ia ajaran yang sama seperti yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu. Islam sebenarnya ajaran yang tidak berubah sejak Nabi Adam a.s. Semestinya persamaan antara ajaran Islam dan nabi terdahulu terletak pada:
- Menetapkan bahawa makhluk perlu mengesakan Allah.
- Makhluk perlu menolak syirik iaitu tidak mengambil tuhan selain daripada Allah.
Punca Syirik
Maksudnya: “Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui yang kebenaran, maka sebab itulah mereka berpaling (ingkar).” (Surah al-Anbiya’ 21: 24)
Apakah kesannya apabila mereka tidak tahu kebenaran? Kesannya, ia membentuk tindak-tanduk ysng susah hendak diajak ke arah kebenaran seperti:
1 |
Tidak mahu mendengar tentang kebenaran. |
2 |
Berpaling daripada kebenaran. |
3 |
Tidak mahu mencari kebenaran. |
4 |
Menentang kebenaran. |
Oleh itu, untuk membezakan antara yang hak dan batil, kita perlu menggunakan akal yang disuluh wahyu. Mengikut secara taklid sahaja memang tidak memadai, bahkan kadangkala dicela pula.
Mesej Rasul Sebelum Ini Juga
Allah berfirman: Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus sebelummu seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Ku.” (Surah al-Anbiya’ 21: 25) |
Ayat ini adalah kesinambungan daripada ayat sebelum ini:
Al-Quran ini menjadi peringatan pengikutku (Muhammad), juga sebagai peringatan umat sebelumku.’ (Surah al-Anbiya’ 21: 24)
Kesatuan mesej yang dibawa oleh para rasul dan nabi ini Allah tegaskan dengan berkata:
Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Aku.” (Surah al-Anbiya’ 21: 25)
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.