Senario 1
Tahun 1976, saya berusia 21 tahun. Masih remaja dan belajar di Universiti Newcastle, New South Wales, Austalia, tahun dua dalam jurusan Matematik. Saya telah dipilih oleh persatuan kami; Australian Federation of Muslim Students Association (AFMSA) untuk mewakili Australia dalam World Assembly of Muslim Youth (WAMY) di Riyadh, Makkah dan Madinah selama dua minggu.
Saya berasa agak ganjil kerana saya ialah antara peserta termuda berbanding peserta lain. Ditambah saya berambut panjang separas bahu, memakai baju-T dan berseluar jean, berbanding peserta dari negara lain yang rata-rata sudah berumur serta berpakaian lebih “alim” dan formal. Namun urus setia agak rasional melantik saya menjadi pengerusi salah satu bengkel selari yang rata-rata disertai oleh peserta yang lebih matang.
Senario 2
Tahun 1980, saya berusia 25 tahun. Saya mengembara mengikut jalan darat merentas padang pasir dari Doha di Qatar ke Riyadh di Arab Saudi menaiki sebuah kereta sapu. Perjalanan sejauh hampir 600 km selama 7 jam. Kemudian dari Riyadh menuju ke Madinah menaiki pesawat.
Sampai di Madinah hari sudah dinihari. Saya berjalan merentasi perkarangan Masjid Nabawi mahu menuju ke Bangunan Tabung Haji Malaysia. Oleh kerana begitu ramai jemaah ketika itu, saya terpaksa melangkahi jemaah yang sedang tidur bergelimpangan di perkarangan Masjid Nabawi. Suasana ini mungkin tidak berlaku lagi sekarang selepas hampir 40 tahun.
Ketika itu apa yang dapat saya perhatikan adalah wajah-wajah orang tua lelaki dan perempuan yang uzur dengan kemudahan penginapan yang paling minimum.
Ketika itu terdetik di hati saya, “Di mana perginya anak muda dan remaja di dunia ini? Bukankah mereka golongan yang lebih layak ber“back packing” ke Madinah dan Makkah dalam usia muda, masih sihat, tahan lasak serta tidak memerlukan bilik hotel untuk istirahat malam?”
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.