Istilah ini dipopularkan oleh seorang pendakwah dan ahli politik Indonesia iaitu Bapak Mohamad Natsir yang merupakan Perdana Menteri Indonesia Kelima ketika Sukarno menjadi Presiden.
Beliau terkenal sebagai berpendirian tegas dalam isu-isu agama dalam negara dan gigih memasukkan nilai agama dalam politik negara. Antara tulisan beliau yang tegas dalam hal ini bertajuk Agama dan Negara yang dimuatkan dalam majalah Media Dakwah:
Jika yang dinamakan agama itu hanyalah semata-mata satu sistem peribadatan antara makhluk dengan Yang Maha Kuasa, maka definisi ini tidak tepat bagi agama yang bernama Islam. Islam adalah falsafah hidup; satu sistem perikehidupan untuk kemenangan manusia sekarang dan di akhirat nanti. Oleh kerana itu, bagi kita sebagai Muslim, tidak mungkin dapat melepaskan diri kita daripada politik. Sebagai orang berpolitik, kita tidak dapat melepaskan diri daripada ideologi kita, yakni ideologi Islam.
Walau apa jua posisi kita, pekerjaan kita dan bidang tugas kita, berdakwah adalah satu perkara yang dituntut. Ini juga sebahagian daripada tugas khalifah yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia. Allah berfirman:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.’ (Surah al-Baqarah 2: 30)
Dakwah dalam Berpolitik
Dr. Yusuf al-Qaradawi menukilkan dalam Fiqh al-Dawlah, dunia adalah ladang akhirat dan agama tidak akan sempurna kecuali dengan dunia. Agama adalah dasarnya, manakala negara adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak memiliki dasar akan hancur dan sesuatu yang tidak mempunyai penjaga akan tempang.
Politik asalnya diambil daripada bahasa Yunani iaitu “polis” yang bermaksud “bandar” sebagaimana yang ditulis oleh Hesoid dalam buku Loeb Classical Library. Bagi Islam, politik diterjemah sebagai “siyasah”. Perkataan siyasah dalam Mu‘jam al-Wajiz pada penggunaannya dari sudut bahasa bermaksud mentadbir sesuatu perkara dengan baik atau pemerintah mentadbir urusan rakyat.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.