Sebut sahaja lafaz bismillah, pasti kita akan mengaitkan dengan permulaan. Ini kerana bismillah biasanya dibaca sebelum melakukan atau mengucapkan sesuatu. Sama juga fungsinya sebagai permulaan surah dan tanda pemisah antara surah.
Setiap kali kalau kita lakukan kebaikan atau perkara yang harus, kita baca bismillah. Ini biasa. Bahkan patut diamalkan dan dijadikan rutin tanpa tertinggal. Namun beranikah kita membaca bismillah sebelum lakukan maksiat kepada Allah? Atau semasa ingin melakukan perkara yang sia-sia?
Jangan Perolok Nama Allah
Rata-rata ulama berpendapat makruh atau haram hukumnya membaca lafaz bismillah sebelum melakukan perkara yang makruh atau haram. Ini kerana ia seolah-olah merperolok-olokkan nama Allah.
Bayangkan, seorang hamba Allah menyebut lafaz bismillah, kemudian meneguk arak. Pasti yang melihatnya akan menganggap perbuatan meminum arak itu seolah-olah dibenarkan dalam Islam. Ia boleh menjadi fitnah kepada agama.
Namun hakikatnya, jangankan menyebut lafaz bismillah, ingat Allah pun belum tentu semasa iman lemah sehingga terjebak dengan maksiat.
Jadi, walaupun tidak dibenarkan menyebut lafaz bismillah sebelum melakukan perbuatan yang makruh dan haram, namun tidak salah bukan ingat Allah walau semasa melakukan kemungkaran? Ingat Allah senantiasa ini mampu menjadikan hati tawar untuk melakukan kemaksiatan.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.