Hadis daif menurut istilah ialah hadis yang tidak ada padanya syarat-syarat hadis sahih dan hadis hasan. Sementara hukum bagi hadis daif adalah mardud (tertolak) dan tidak boleh diguna pakai sebagai hujah bagi menegakkan dan menetapkan hukum.
Contoh hadis daif adalah:
Maksudnya: Rasulullah s.a.w. menutup kedua-dua lutut beliau ketika Uthman masuk.
Namun, menurut Syeikh Prof. Dr. Ali Jum’ah (Mufti Kerajaan Mesir), perbuatan meninggalkan seluruh hadis daif adalah perbuatan bidaah. Ini kerana hadis daif bukanlah sama tarafnya dengan hadis palsu yang tidak boleh diguna pakai langsung dalam kehidupan manusia.
Syarat Boleh Diterima
Sebaliknya hadis daif boleh diguna jika memenuhi beberapa syarat tertentu:
1. Tahap kedaifan hadis tersebut tidaklah terlalu kuat. Maka hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang disyaki berbohong dan sangat besar keraguan yang terdapat padanya tidak boleh diamalkan.
2. Makna bagi hadis itu masih terkait dalam prinsip umum syariat, seperti hadis tentang sembahyang sunat setelah tergelincirnya matahari.
3. Mestilah digunakan dalam hujah bagi fadilat beramal sahaja dan bukan sebagai hujah untuk menegakkan sesuatu hukum.
Hadis Daif dalam Fadilat Beramal
Fadilat beramal adalah perkara yang dianjurkan syariat untuk diamalkan seperti zikir, doa dan ibadah-ibadah sunah lain yang sesuai dengan prinsip-prinsip dasar syariat. Penggunaan hadis daif juga dibolehkan bagi tujuan untuk mengajar atau memberi nasihat tentang amal ibadat dan sebagainya.
Natijahnya, kita sebagai umat Islam harus cakna dalam mengamalkan atau menggunakan sesuatu hadis terutamanya hadis daif. Kita haruslah mengenal pasti terlebih dahulu status hadis tersebut kerana dikhuatiri berkemungkinan hadis tersebut adalah hadis daif yang kuat yang tidak boleh dipraktikkan.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.
Free Trial
Free trial access for 200 articles.Click now