Ketika dalam perjalanan ke Yathrib, Baginda bertemu dengan al-Zubair bin al-‘Awwam bersama-sama sekumpulan orang Islam. Mereka merupakan satu kafilah perniagaan yang baru kembali dari Syam.
Al-Zubair telah memberikan sepasang persalinan putih kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq. Menurut sebahagian riwayat, sahabat yang ditemui oleh Baginda itu ialah Talhah bin Ubaidillah. Manakala sebahagian ulama yang lain pula menggabungkan kedua-dua pendapat ini, dengan menyimpulkan bahawa orang yang ditemui oleh Baginda ialah al-Zubair dan Talhah.
Di Sebalik Fatamorgana
Di Yathrib pula, berita tentang keberangkatan Rasulullah SAW keluar dari Makkah sudah sampai kepada para pengetahuan kaum Muslimin. Setiap pagi, mereka akan keluar ke kawasan tanah berbatu hitam yang dipanggil al-Harrah. Mereka ke sana untuk menunggu ketibaan Baginda. Apabila terik mentari mula terasa, mereka akan pulang ke rumah masing-masing.
Suatu hari, orang Islam menunggu ketibaan Baginda di al-Harrah seperti hari-hari sebelumnya. Apabila sudah tidak ada lagi tempat untuk berteduh dek kerana cuaca yang terlalu panas, barulah mereka pulang.
Ketika semua yang menunggu sudah pulang ke rumah, seorang lelaki Yahudi telah memanjat salah satu daripada benteng kubu mereka untuk melihat keadaan terkini.
Di sebalik bayangan fatamorgana padang pasir, tiba-tiba dia terlihat kelibat Rasulullah SAW dan sahabatnya yang berpakaian serba putih. Dia tidak mampu mengawal dirinya lagi lalu melaungkan: “Wahai orang Arab! Ini dia orang yang kamu tunggu-tunggu.”
Demikian ajaibnya kemuliaan kurniaan Allah SWT terhadap Rasulullah SAW. Dalam lubuk hati sanubari Si Yahudi itu, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui. Namun, ternyata dia sebenarnya tidak dapat menyembunyikan lagi perasaannya sebagai “jiran” kepada penduduk Yathrib yang ternanti-nanti kehadiran Baginda.
Sebaik sahaja mendengar laungan tersebut, kaum Muslimin segera keluar semula. Mereka membawa senjata-senjata mereka sambil bergegas menuju ke al-Harrah untuk menyambut ketibaan Baginda.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.
Free Trial
Free trial access for 200 articles.Click now