March 28, 2024
Dakwah UMUM

Dakwah Golongan Elit

Bayangkan jika lebih ramai individu kaya lagi pemurah dan bertakwa di Malaysia? Pasti banyak kebajikan, dakwah dan bantuan dapat diberikan kepada orang Islam dan bukan Islam.

Jika 10 orang berjaya didakwah untuk membantu Islam = 10,000 orang miskin dapat dibantu.

Jika 100 orang berjaya didakwah untuk membantu Islam = Mungkin 100,000 fakir miskin dapat dibantu.

Angan-angan ini bukan omongan kosong, tetapi meniru gerak kerja dakwah Rasulullah s.a.w. yang menyampaikan dakwah kepada semua golongan, baik di desa mahupun kota, baik miskin mahupun kaya.

Galakan Menjadi Kaya

Kita sering salah tafsir bahawa Islam tidak suka orang kaya, bahkan disuruh jadi miskin. Tidak ada dalil al-Quran yang memuji kemiskinan termasuk hadis-hadis Rasulullah. Dalil-dalil yang memuji sifat zuhud sama sekali tidak sama dengan maksud memuji sifat kemiskinan.

Islam menganggap kekayaan adalah anugerah Allah dan menuntut manusia untuk bersyukur dan berbakti:

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah. (Surah al-Qasas 28: 77)

Jelas, kekayaan itu perlu disyukuri dan dirasai bersama-sama masyarakat Islam yang lain. Penghujung ayat itu, Allah memberi peringatan kepada kita agar tidak membuat kerosakan di muka bumi.

Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud,

Sebaik-baik harta itu ialah harta yang berada pada tangan orang yang soleh. (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani)

Baginda juga didampingi oleh hartawan dan bangsawan yang membantu gerak kerja dakwah antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan, Khadijah binti Khuwailid dan ramai lagi. Bahkan Rasulullah pernah mengajar kita untuk berdoa,

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kemiskinan.(Riwayat Abu Daud)

Strategi Dakwah Nabi

Dakwah Nabi Muhammad

Dr. Ramadhan al-Buti mencatatkan Nabi berdakwah kepada:

  • Bangsawan
  • Hartawan

Dengan cara:

  • Menghantar duta-duta dakwah.
  • Menghantar penulisan surat-surat dakwah.

Antara sasarnnya ialah al-Najasyi, Hercules, Uskup Dhuhaathir, al-Muqauqis, Kisra, Mus‘ab bin Umair dan beberapa orang lagi.

Muhammad bin Saad dalam al-Tabaqat al-Kubra merekodkan sebanyak 105 keping surat yang ditulis dan dikirim oleh Nabi Muhammad.

Surat-surat nabi boleh terbahagi kepada tiga jenis surat:

1

Surat tentang seruan masuk Islam.

Dihantar kepada raja dan pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan Yahudi, Kristian, Majusi dan Musyrikin.

2

Surat tentang tuntutan masyarakat Islam.

Surat seperti ini dihantar kepada masyarakat Islam yang bertanyakan tentang akidah, syariah, akhlak, muamalat dan sebagainya.

3

Surat tentang panduan hidup di negara Islam.

Surat seperti ini dihantar kepada masyarakat bukan Islam yang merasa bimbang hidup dalam pemerintahan Islam

Dakwah Nabi Sulaiman
  • Pernah berdakwah kepada Ketua Negara Saba’ iaitu Ratu Balqis supaya menyembah Allah.
  • Mengirim surat diplomatik melalui burung hudhud.
  • Peristiwa ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Naml ayat 28 hingga 31.
  • Ibn Kathir mentafsirkan bahawa Ratu Balqis tahu bahawa surat tersebut dari Nabi Sulaiman.
  • Mereka belum pernah menerima surat seperti itu yang menggunakan gaya bahasa yang bersastera tinggi, ringkas dan padat, tetapi jelas pengertian, mudah difahami dengan ringkas, tetapi indah.
Dakwah Nabi Musa
Nabi Musa antara nabi yang ditonjolkan oleh Allah dalam al-Quran berdakwah dengan dengan pelbagai golongan:

  • Firaun (pemimpin zalim).
  • Qarun (hartawan yang sombong).
  • Samiri (ajaran sesat).
  • Bani Israil (umat yang degil).
Walaupun Nabi Musa menerima tentangan dan cabaran, Baginda tetap tegas memberi amaran dan berdakwah kepada golongan ini.

Allah memberi pesan,

Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah Engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu) (Surah al-Qasas 28: 76)

Ibn Kathir menjelaskan bahawa Qarun seorang yang:

  • Kaya raya.
  • Sombong dengan hartanya.
  • Melakukan kezaliman kepada kaumnya.

Kemudian Nabi Musa menasihatinya, namun tidak diendahkannya sehingga Allah membenamkan dia bersama-sama hartanya.

Serupa dan Berkesan

Jika diamati dari nota sejarah, faktor utama kemajuan Islam di Tanah Melayu disebabkan ulama berjaya mendampingi dan berdakwah kepada para pembesar istana. Para ulama mengislamkan raja-raja Melayu, kerana orang Melayu setia kepada raja. Apabila seorang raja Melayu memeluk Islam, maka rakyat jelata mengikut agama raja mereka.

Catatan penulis sejarah Tanah Melayu menyatakan bahawa ahli-ahli sufi berperanan menyampaikan mesej Islam dalam kalangan rakyat jelata. Contohnya:

Makhdum Sayyid Abdul Aziz telah mengislamkan pemerintah dan rakyat negeri Melaka dan Kedah.

 

Sheikh Abdullah al-Yamani
Maulana Abu Bakar, Kadi Yusof, Kadi Menus, Kadi Menawar Shah dan Makhdum Sadar Jahan guru agama di negeri Melaka.
Kenali Tokoh
Ahmad Dawjee Dadabhoy
Siapakah beliau? Apakah yang beliau telah buat?
Jutawan Malaysia yang telah meninggal dunia. Keturunan India Muslim. Mewakafkan tanah seluas 1.2 ekar di Jalan Perak. Mewakafkan lot saham bernilai jutaan dolar di Bursa Saham London dan beberapa bursa saham lain.

 

Beliau meninggal dunia pada 24 Januari 1987 di sebuah rumah flat kecil di Jalan Masjid India, dikelilingi buku-buku bacaan beliau dan tiada harta lain yang ditinggalkan.

 

Tanah yang diwakafkan itu:

  1. Kini tersergam Menara Wakaf Bank Islam.
  2. Dibina pada tahun 2007.
  3. Hasil sewaan bangunan selama 25 tahun ialah RM 56.6 juta.

Petikan:

Tidak semua orang mampu mendampingi golongan elit untuk menyampaikan mesej dakwah. Jika mampu, teruskan. Jika tidak, banyak lagi ruang dakwah boleh dibuat. Pakat-pakat buat, insya-Allah berkat.

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?