Selamat datang bulan yang penuh rahmat, keberkatan, pengampunan dan kebaikan. Inilah bulan yang Allah kurniakan pelbagai keistimewaan yang hanya khusus ada pada bulan ini.
Ramadan kali ini pasti tidak sama dengan Ramadan sebelum ini kerana usia kita makin bertambah, sekali gus peluang kita untuk bertemu lagi Ramadan berikutnya juga akan semakin berkurang secara automatik. Ini kerana usia kita akan menjadi semakin pendek, bukannya semakin panjang.
Disebabkan itulah kita perlu muliakan Ramadan sebagai tetamu yang cukup istimewa. Bukan disebabkan ia hanya datang sekali setahun, tetapi disebabkan ia bulan yang mulia yang diturunkan padanya al-Quran yang mulia.
Bagaimana cara untuk memberi layanan yang istimewa kepada Ramadan? Caranya, dandan Ramadan dengan ibadah.
Rasulullah bukan sahaja dandan Ramadan dengan ibadah, bahkan Baginda juga gandakan ibadah sepanjang Ramadan. Menggandakan ibadah sepanjang Ramadan ini menjadi simbol keseriusan kita merebut segala kebaikan dan ganjaran yang ada padanya.
Ramadan itu ada sempadan. Tempohnya sebulan. Tempoh yang cukup panjang. Dengan itu, ada yang hampir ke penghujung mula kecundang. Jika demikian, jadilah pengurus terbaik untuk diri. Kita pengurus, kita juga yang diurus. Jika sampai tahap kita terpaksa menjadi “boneka bertali” untuk patuh kepada semua suruhan wahyu dan saranan sunnah, lebih baik kita menjadi “boneka bertali” tu.
Boneka yang mengikut arus Ramadan. Nabi laju bersedekah, kita juga begitu. Ulama khatam al-Quran berkali-kali, kita juga khatam walau sekali. Orang soleh berpusu-pusu menghidupkan malam Ramadan, kita juga tidak lepaskan peluang.
Dengan itu, semoga yang tadinya “boneka bertali” kerana percaturan sendiri yang mahu mengisi Ramadan dengan pelbagai ibadah, berubah menjadi manusia yang ikhlas hatinya beribadah sepanjang Ramadan.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.