Setelah wahyu pertama turun, wahyu berhenti turun untuk beberapa waktu. Ada riwayat yang menyatakan selama 40 hari. Inilah juga disebut sebagai tempoh wahyu tidak turun (fatrah al-wahy).
Beban yang ditanggung oleh Baginda semakin berat setelah Waraqah Bin Naufal wafat pada waktu itu. Tiada lagi yang dapat memotivasi melainkan isterinya; Khadijah. Tambahan pula, pada waktu yang sama berlakunya tempoh begitu lama wahyu tidak turun.
Baginda mula risau dan gusar. Fikirannya berkecamuk, hatinya libang-libu memikirkan wahyu yang tidak turun dan tidak kunjung tiba. Baginda mula bersedih hati. Sehinggalah Jibrail sendiri yang menenangkan Nabi.
Setiap kali beliau sampai ke atas bukit, malaikat Jibrail menampakkan diri dan berkata, ‘Wahai Muhammad, engkau adalah benar-benar utusan Allah. (Riwayat al-Bukhari)
Walaupun terdapat perbezaan tempoh terputusnya wahyu, setelah berakhir masa tersebut, turunlah wahyu kedua:
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan agungkanlah Tuhanmu…” (Surah al-Muddaththir 74: 1-3)