Undang-undang keluarga Islam boleh difahami sebagai peraturan-peraturan yang dengannya sesebuah keluarga Islam terbina. Dengannya juga hubungan sesama ahli keluarga dapat diatur.
Secara umumnya, peraturan atau peruntukan yang terkandung dalam undang-undang keluarga Islam telah pun dinyatakan secara terperinci dalam al-Quran dan sunnah. Dalam konteks negara kita, undang-undang keluarga Islam mempunyai bidang kuasa dalam hal-hal termasuk:
- Hal-hal yang bersangkutan dengan perkahwinan pertunangan, syarat-syarat sah pernikahan; prosedur pendaftaran perkahwinan, mahar dan poligami.
- Pembubaran perkahwinan yang meliputi cerai dengan talak, pembubaran dengan perintah, tebus talak, taklik, fasakh, anggapan mati, pendaftaran perceraian, mutaah dan harta sepencarian.
- Nafkah isteri, anak-anak dan nafkah-nafkah lain, kuasa-kuasa mahkamah dalam membuat perintah nafkah dan nafkah selepas perceraian.
- Hadanah atau hak penjagaan anak termasuk mereka yang berhak untuk menjaga anak serta kelayakan masing-masing, tempoh penjagaan, perintah penjagaan oleh mahkamah, kuasa-kuasa penjagaan atas harta, pelantikan penjaga oleh mahkamah, pemecatan penjaga, had kuasa penjaga dan kuasa mahkamah membatalkan hak penjagaan.
- Pelbagai yang meliputi pengiktirafan kepada perkahwinan yang dilakukan di luar negara, penentuan nasab bagi anak yang dilahirkan, masalah isteri yang ditinggalkan langsung oleh suami dan masalah perkahwinan yang tertakluk kepada undang-undang negara asing.
- Penalti-penalti.
Akhlak dan Menjunjung Syariah
Sebenarnya, akhlak adalah salah satu dimensi agama Islam yang turut merangkumi syariah dan juga akidah. Akidah adalah tunjang kepada hidup seseorang manusia; manakala syariah pula aturan yang perlu dilalui oleh manusia ketika menjalani kehidupan di dunia ini.
Sering kali akhlak dianggap sebagai buah atau hasil kepada pegangan akidah yang kuat dan penghayatan dari sudut amali, yakni syariat.
Orang yang mempunyai keimanan yang tinggi akan menjunjung syariah. Walau di mana mereka berada dan apa pun peranan mereka, orang yang beriman akan mengurus kehidupan mereka berlandaskan prinsip-prinsip hukum syarak, beramal dengan syariah dan tidak melangkaui batas yang telah ditetapkan.
Dalam konteks kekeluargaan, setiap ahli keluarga akan menunaikan fungsi mereka menurut tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka. Seseorang bapa atau suami yang taat akan Allah akan memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.