December 9, 2023
Dakwah UMUM

Ibarat Sesimpai Lidi

Kita semua setuju bahawa kerja dakwah bukan kerja solo. Bahkan kita juga setuju bahawa dakwah tidak terikat kepada golongan yang tertentu sahaja.

Jika demikian kepercayaan yang kita pegang, maka kita juga boleh berdakwah, bahkan wajib menyampaikan dakwah sebagaimana saranan daripada Nabi Muhammad s.a.w. Apatah lagi semua gerakan dakwah bergerak atas satu tujuan yang sama, tak lain tak bukan:

1

Amar makruf: Menyuruh melakukan ketaatan dan kebaikan.

2

Nahi mungkar: Menegah daripada melakukan kemungkaran dan maksiat.

 

GESAAN AL-QURAN

Bidang kerja dakwah bukan hak eksklusif mana-mana pihak, tetapi meliputi semua pihak sebenarnya dengan syarat tidak menyimpang daripada panduan al-Quran dan sunnah.

Kerja dakwah akan lebih berkesan jika para pendakwah atau gerakan dakwah bersatu serta saling membantu. Tiada istilah bersaing antara satu sama lain dalam kerja dakwah. Ibarat sesimpai lidi, jika sebatang lidi mudah dipatahkan, namun jika menjadi seikat akan menjadi kuat dan menguatkan. Begitu juga dengan gerakan dakwah.

Sehubungan itu, al-Quran menggesa supaya gerakan dakwah bergerak dalam keadaan:

1. Saf Perlu Teratur

Allah berfirman:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (Surah al-Saf 61: 4)

“Satu binaan yang tersusun kukuh” dalam ayat di atas bermaksud:

  • Satu organisasi yang diikat dengan kesatuan dan kekuatan.
  • Sebahagian mereka memperteguh sebahagian yang lain dengan cara tersendiri.
  • Seluruh organisasi ibarat satu organ yang hidup dan lengkap.

Badan dakwah yang tidak terikat dengan kerajaan (NGO) tidak mampu untuk menguasai dan menangani semua kumpulan sasaran dakwah. Jadi, mereka perlukan kerjasama yang kukuh dan strategik dengan badan gerakan dakwah yang lain.

2. Saling Menguatkan

Allah berpesan:

Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Tawbah 9: 71)

Tafsir Ibn Kathir membawakan satu hadis bagi menjelaskan ayat di atas. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Perumpamaan kaum Mukminin dalam hal mereka saling mencintai dan menyayangi adalah seperti tubuh yang satu. Jika salah satu organnya mengadu, maka organ tubuh lain memberi perhatian dengan demam dan tidak dapat tidur. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Bergerak Berkumpulan

Allah s.w.t. menyarankan:

Dan hendaklah ada antara kamu satu puak (ummah) yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya. (Surah Ali ‛Imran 3: 104)

Kalimah ummah di atas bermaksud:

Satu kumpulan yang terdiri daripada individu yang bersatu dalam satu ikatan ukhuwah untuk menggerakkan agenda dakwah, kebajikan dan menegah perkara yang salah dan keji.

Ibn Kathir membawakan satu hadis daripada Abu Hurairah bagi menjelaskan ayat di atas yang bermaksud:

Sesiapa antara kalian melihat suatu kemungkaran, hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya. Jika ia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan jika masih tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemahnya iman. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ringkasnya, mencegah kemungkaran dapat dilakukan dengan tiga cara, melalui:

  • Tangan
  • Lisan
  • Hati

Kerjasama Gerakan Dakwah

Analogi berikut menunjukkan kerjasama antara kumpulan dakwah yang berganding bahu menghasilkan dakwah yang teguh dan stabil.

Projek Perumahan Projek Dakwah
(Ada ilustrasi analogi) (Ada ilustrasi analogi)

Setiap kali ada projek perumahan baharu akan dibangunkan, cuba lihat maklumat pada papan tanda projek perumahan itu.

Kita akan dapati proses pembuatan rumah dilakukan oleh beberapa syarikat berasingan sehingga siap rumah tersebut. Setiap syarikat mempunyai kepakaran dan tugasan masing-masing.

Kombinasi ini diwujudkan sehingga rumah yang dibina siap dan sempurna.

Begitu juga dengan projek yang dijalankan gerakan dakwah, ia perlukan kombinasi daripada kumpulan-kumpulan dakwah yang lain untuk mengisi beberapa ruang dakwah yang berbeza.

Kerjasama yang padu diperlukan kerana misi dan visi yang dibawa sama, cuma cara dan pendekatan sahaja yang berlainan.

 

 

Begitulah lumrah manusia, saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Hasil yang baik daripada aktiviti dakwah akan lebih berkesan jika gerakan dakwah bersatu. Dakwah yang dijalankan juga lancar dan cekap jika dilakukan dengan cara yang benar.

Subscribe

Gain access to all our Premium contents.
More than 100+ articles.

Buy Article

Unlock this article and gain permanent access to read it.
Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?