Al-Quran. Inilah nama yang paling dikenali. Sesungguhnya Allah mengkhususkan kitab yang diturunkan kepada Rasulullah dengan nama ini.
Para sahabat sendiri pun telah menjadikan al-Quran sebagai dasar dan paksi dalam kehidupan mereka. Mereka melakar kehidupan berdasarkan al-Quran, rujukan utamanya adalah al-Quran dan mereka terus berpegang teguh dengan al-Quran.
Al-Syahid Syed Qutb pernah menyatakan: “Sesungguhnya para sahabat tidaklah membaca al-Quran dengan matlamat untuk mendapatkan pengetahuan dan kajian. Tidak juga bertujuan untuk bersedap-sedap dan perhiasan, bahkan para sahabat membaca al-Quran untuk mengamalkan al-Quran dengan segera apabila mendengarnya. Perkara ini dapat kita saksikan dalam pelbagai peristiwa dan sejarah yang telah mereka lakarkan.”
Sesungguhnya Allah telah berfirman, maksudnya:
Kamu tidak akan sesekali dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. (Surah Ali ‘Imran 3: 92)
Nilai Sebuah al-Quran
Nilai untuk sesebuah al-Quran terlalu mahal. Tidak mampu untuk ditukar ganti sekalipun seluruh langit dan bumi menjadi cagarannya. Sesiapa yang membacanya akan menambahkan iman. Sesiapa yang memahaminya akan merasai ketakjuban. Sesiapa yang berpegang dengannya akan berjaya. Bahkan sesiapa yang mengkaji akan bertemu rahsia yang agung.
Antara nilai paling agung sebuah al-Quran adalah ia merupakan sebuah kitab yang tidak ada sebarang keraguan padanya. Ia kitab yang 100% benar dan tepat. Tiada sebuah buku pun yang mampu mengungkapkan dan membuktikan bahawa bukunya adalah buku yang sunyi daripada sebarang kesilapan dan percanggahan. Namun, al-Quran, awal-awal lagi telah mengisytiharkan bahawa ia merupakan sebuah kitab yang tiada keraguan padanya.
Allah berfirman: “Tiada keraguan daripada segala sudut dan segi; datangnya daripada Allah s.w.t. dan isi kandungannya.”
Maka benarlah firman Allah:
Kitab al-Quran itu, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya) ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa. (Surah al-Baqarah 2: 2)
Beramal dengan al-Quran
Dr. Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qathani menyatakan, “Beramal dengan al-Quran adalah membenarkan perkhabarannya dan mengikut hukum-hakamnya dengan melakukan semua perkara yang diperintahkan oleh Allah yang terkandung dalam al-Quran dan meninggalkan semua tegahan-Nya. Perkara ini dilakukan kerana mengharapkan keredaan Allah, takut dengan hukuman-Nya dan perasaan haloba terhadap ganjaran pahalanya.”
Atas dasar inilah salafussoleh melakukannya. Mereka mempelajari al-Quran dan membenarkan al-Quran serta perkhabarannya. Dan mereka melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh berdasarkan akidah yang mantap.
Bermula daripada kefahaman inilah, para sahabat Rasulullah bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran dan tanpa bertangguh mereka terus mengamalkannya. Ayuh contohi sikap para sahabat seperti Sayidina Uthman bin Affan, Abdullah Ibn Mas‘ud dan lain-lainnya. Apabila mereka mempelajari daripada Nabi s.a.w. 10 ayat, maka mereka tidak melebihkannya sehinggalah mereka mempelajari 10 ayat itu bersama dengan kefahaman dan amalan.
Lantas mereka berkata: “Kami belajar al-Quran dan amalkan kesemuanya.”
Erti Tilawah
Beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan matlamat terbesar penurunan al-Quran. Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa tilawah al-Quran bukan bermakna membacanya sahaja, bahkan turut memberi makna mengamalkan segala inti sari al-Quran.
Betapa al-Quran itu mukjizat, apabila kita memahami dan menghayati Kalamullah ini, ia membantu dan memudahkan kita menjaga dan memelihara kesucian al-Quran yang mulia ini. Sekiranya kita gagal untuk menghayati dan memahaminya, maka kita gagal untuk mengamalkannya.
Cuba kita lihat sekali lagi kenyataan Dr. Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qathani dalam ‘Azamah al-Qur’an al-Karim bahawa tilawah terbahagi kepada dua jenis:
Tilawah Hukmiyyah |
Iaitu membenarkan perkhabarannya, melaksanakan hukum-hakamnya dengan melakukan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya, iaitu beramal dengan al-Quran. |
Tilawah Lafziyyah |
Iaitu membacanya. |
Prof. Dr. Hamka menyatakan dalam Tafsir al-Azhar, “Sesiapa yang berpaling daripada peringatan al-Quran, menolak dan mendustakannya hanya kerana menurut hawa nafsu sahaja, atau mencari petunjuk daripada yang lain, atau tidak yakin dengan kebenarannya dan hanya yakin akan sumber lain yang jauh daripada kebenaran yang langsung daripada Allah.”
Agen Pengubah
Akhir kalam, sesungguhnya Allah menyentuh dan mempengaruhi setiap diri Muslim, tanpa membezakan antara jantina. Semuanya sama sahaja. Al-Quran telah berjaya mengubah masyarakat keseluruhannya termasuklah lelaki dan wanita.
Hasilnya, al-Quran berjaya mengubah seluruh kehidupan daripada kegelapan yang meresahkan kepada cahaya Islam yang mendamaikan.
Ibn al-Qayyim al-Jawziyah menyatakan dalam Miftah al-Sa‘adah bahawa ada yang berpendapat Islam akan hilang atas tangan empat golongan ini:
- Golongan yang tidak beramal dengan apa-apa yang dia tahu.
- Beramal dengan apa yang dia tidak tahu.
- Tidak beramal dan tidak berilmu.
- Mereka yang menghalang manusia lain daripada belajar.
Bait Indah |
“Apakah gunanya membawa lampu bagi orang yang buta, sedangkan ia berguna hanya untuk orang lain. Apakah gunanya rumah yang gelap jika lampu-lampunya di belakang rumah. Apakah gunanya kamu berbicara tentang hikmah, padahal kamu tidak mengamalkannya.” “Alangkah banyaknya pohon, tidak semuanya berbuah. Alangkah banyaknya ulama, tetapi tidak semua dapat memimpin. Alangkah banyaknya buah, tetapi tidak semuanya baik. Alangkah banyaknya ilmu, tetapi tidak semuanya bermanfaat.” |
Abu al-Laith al-Samarqandi |
Petikan: Al-Quran merupakan dustur atau perlembagaan kaum Muslimin; undang-undang yang memutuskan setiap perkara sama ada kecil atau besar dalam kehidupan mereka.