SITUASI
Bermula 1 Januari 2019, perokok di Malaysia perlu membiasakan diri untuk tidak merokok di mana-mana restoren dan premis makanan. Ini meliputi restoren tertutup, berhawa dingin dan restoren atau warung berkonsep terbuka. Tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324). |
Kita tertanya-tanya, apakah data yang diguna oleh Kementerian Kesihatan Malaysia apabila mereka membuat keputusan mengheret perokok yang tidak berjaya mematuhi akta terbaharu ini ke mahkamah? Pasti mereka menyimpan data yang cukup membimbangkan!
Hasil carian, inilah jawapannya:
PEROKOK SEKUNDER | |||
Lokasi golongan dewasa terdedah kepada asap rokok: | Lelaki (%) | Wanita (%) | Keseluruhan (%) |
Tempat kerja | 46.2 | 30.1 | 39.8 |
Rumah | 43.3 | 33.3 | 38.4 |
Restoren / kedai makan | 73.1 | 68.4 | 71.0 |
Jawapan ini ditemui dalam Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2011. Tiga pengilang rokok yang utama di Malaysia sahaja menghasilkan kira-kira 19 bilion batang rokok setahun untuk pasaran domestik.
Jika kita renung dan fikirkan secara logik statistik di atas, kita mungkin terkejut kerana:
- Lebih ramai individu yang tidak merokok terdedah dengan asap rokok di kedai makan berbanding di tempat kerja mahupun rumah.
- Betapa premis makanan menjadi sarang perokok menghembuskan asap bernikotin tersebut. Peratusan yang ditunjukkan juga sangat tinggi! Sedangkan premis makanan adalah tempat untuk masyarakat awam santap makanan ruji. Makan wajib, manakala rokok haram! Namun untuk mendapatkan keperluan asas, habis pelanggan kedai makan terpaksa menyedut asap rokok jika ada pelanggan lain yang merokok di kedai makan.
Kita mungkin juga tidak menyangka bahawa masa yang kita habiskan mungkin tidak sampai 1 jam di kedai makan itu menyumbang peratusan yang begitu tinggi bagi orang dewasa terdedah kepada rokok. Sedangkan masa kita banyak dihabiskan di tempat kerja (8-10 jam) dan rumah (10-12 jam).
TAHUKAH ANDA?
Rokok Diharamkan di Tempat Awam pada Zaman al-Qalyubi Pengharaman merokok di tempat awam ini bukanlah perkara baharu. Sebelum kedai makan, bangunan kerajaan dan beberapa negeri telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Bahkan negara barat yang maju itupun sudah lama bertindak demikian. Bahkan al-Qalyubi menyebut dalam Majmu‘ah Sab‘ah Kutub Mufidah: “Sultan (pada zaman al-Qalyubi) memerintahkan naib sultan untuk mengisytiharkan kepada orang ramai supaya tidak merokok di pasar dan kedai kopi. Mereka yang melanggar perintah ini dikira berdosa. Oleh itu, sekarang (pada zaman al-Qalyubi) diharamkan merokok kerana taat kepada perintah raja.” |
Trend Merokok Dunia
Jika kita mengembara ke dunia luar, Malaysia bukanlah antara negara yang terawal mengharamkan perbuatan merokok di khalayak awam atau kedai makan. Di Eropah contohnya, kempen kesedaran dan gerakan antirokok dilihat cukup berjaya mengurangkan kadar perokok. Jumlah perokok makin menurun…
Antara penyumbang kejayaan gerakan antirokok ialah ketegasan dari segi penguatkuasaan undang-undang. Bahkan jika kita teliti juga, negara maju mencatatkan kadar perokok yang rendah berbanding negara membangun atau negara mundur.
Sebab itulah juga syarikat rokok mensasarkan jualan rokok di negara yang berpotensi memberi pulangan yang lumayan kepada mereka seperti negara membangun dan mundur tersebut.
Indonesia contohnya mencatatkan kadar perokok di tangga ke-3 dunia. Itulah negara dengan penduduk Muslim paling ramai.
Jadi, tabiat merokok ini bukan sahaja dilarang dalam Islam menerusi fatwa, bahkan seluruh dunia turut melarangnya. Ia bukan permasalahan setempat, ia isu global.
Kaya Nikotin
Rokok itu sendiri dibuat daripada 70% tembakau. Nama saintifiknya, nikotina tabacum. Lihat sahaja nama itu, jelas terpampang perkataan nikotin di situ. Ya, itu antara bahan utama dalam tembakau, nikotin!
Nikotin ini memang bahan beracun. Ia punca ketagihan.
Oleh sebab itu, perokok yang sudah ketagihan nikotin agak sukar hendak berhenti merokok, namun tidak mustahil. Ini kerana memberhentikan nikotin serta merta akan menyebabkan badan rasa ketagih, diri terasa kosong, stres, takut, sukar untuk fokus dan sebagainya.
Nikotin yang terdapat dalam rokok sekadar bahan yang menyebabkan ketagihan. Namun terdapat banyak lagi bahan kimia lain yang menjadi punca penyakit.
Jadi, kalau kita lihat rokok, kita sebenarnya perlu melihat mereka sebagai satu pasukan yang sedang bekerjasama. Nikotin berperanan memastikan perokok mempunyai komitmen merokok dan enggan berhenti. Manakala beribu-ribu bahan kimia lain yang terdapat dalam rokok pula akan berfungsi mencipta pelbagai mudarat.
Jadi, adakah kita masih mahu menjemput pasukan sebegitu masuk ke dalam badan kita dan melakukan kerosakan?
ASAL UDARA ADALAH BERSIH
Jika asal rokok adalah daripada pokok, maka asal udara adalah bersih. Melainkan kalau ada pencemaran yang biasanya dicetuskan oleh tangan manusia. Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum 30: 41) Sebab itu, kalau kita melalui kawasan yang udaranya tercemar, reaksi spontan kita adalah menekup mulut dan hidung. Tanda kita tidak suka udara yang tercemar. Tiada manusia yang akan menghirup udara yang kotor dalam-dalam sambil menikmati penuh nikmat. Merokok bukan sekadar mencemarkan udara setempat, bahkan mencemarkan paru-paru. Itu baru destinasi pertama organ dalaman yang disinggahnya. Tidak cukup dengan itu, nikotin akan meresap ke dalam darah dalam masa yang pantas, seterusnya diedarkan ke seluruh organ badan. |
Punca Utama
Bayangkan, rokok menjadi faktor risiko bagi 6 daripada 8 penyakit yang berada pada ranking utama dunia.
Ada beberapa fakta yang berkaitan dengan penyakit yang disebabkan oleh rokok:
- Penyakit yang disebabkan oleh rokok ini sebenarnya penyakit yang sememangnya boleh dielak. Ia bukan penyakit yang datang tanpa hasil kerja tangan manusia seperti penyakit genetik dan lain-lain.
- Penyakit itu pula penyakit yang kronik dan boleh membawa maut.
- Bahkan ada juga penyakit yang datang secara berangkai. Tidak cukup dengan satu, sebaliknya sehingga dua hingga tiga, atau lebih lagi (morbiditi).
- Kesemua penyakit ini sepatutnya boleh dielak dengan semudah tidak merokok.
Kenapa Bayar Mahal?
Kadangkala, apabila kita ingin merokok, mungkin kita ke tandas. Ini menunjukkan kita seolah-olah meletakkan rokok setaraf dengan sisa buangan. Bahkan apabila habis, dipijak-pijak pula. Ironinya, sisa buangan tersebut kita sedut dalam-dalam masuk ke dalam sistem respiratori kita. Darah jadi berasid.
Bahkan apabila sebatang rokok dihisap, kira-kira 4000 bahan kimia berbahaya turut disedut. 69 daripadanya adalah punca bagi kanser.
Rokok itu harganya mahal, namun masih mampu dibeli oleh perokok secara konsisten. Ibaratnya, perokok sedang membeli kemudaratan dengan harga yang cukup mahal! Bahkan tidak berbaloi.
Tidak cukup dengan itu, kita sebenarnya sedang mengupah pembunuh upahan dengan setiap wang yang kita belanjakan untuk rokok. Jadi, kenapa membayar begitu mahal untuk merokok?
2 Langkah Bebas Rokok
1 |
Cegah Mengurangkan jumlah perokok baharu. Ibu bapa, pihak sekolah dan kerajaan memainkan peranan yang penting mencegah golongan muda daripada menjadi perokok. |
2 |
Rawat dan Pulih Bantu perokok sedia ada untuk berhenti merokok. Perokok sedia ada pula perlu dibantu dan dibimbing supaya berjaya berhenti merokok. |
Bukan Gaya
- “Inilah aku! Tanpa rokok, aku terasa seolah-olah diri ini hilang makna dan jati diri.” Mungkin ini antara kata-kata perokok merasionalisasilkan tindakannya merokok. Hakikatnya, perokok tidak pernah dipandang gah. Bahkan merokok tidak menjadikan seseorang lelaki itu lebih maskulin berbanding lelaki yang tidak merokok.
- Rokok ibarat parasit dalam diri. Parasit ini menumpang tak mahu beredar. Menumpang percuma tanpa memberi apa-apa, bahkan kadangkala membawa pula mudarat. Jadi, siapa yang untung dan siapa pula yang rugi?
- Rokok juga ibarat sahabat akrab. Tidak sanggup berpisah sampai bila-bila. Di mana ada perokok, di situ ada rokok. Namun, berapa ramai sahabat baik yang betul-betul memberi manfaat dan mampu mencegah kita daripada mudarat dan keburukan?
- Rokok itu ibarat pemangsa. Perokok pula mangsanya. Mangsa ini walaupun statusnya mangsa, biasa agak sukar melupakan pemangsa. Asyik dihantui sahaja. Seolah-olah pemangsa berkata kepada mangsa, “Kamu takkan mampu lupakan apa yang aku lakukan kepada kamu.”
- Jika di Barat, mereka mempunyai kesedaran supaya tidak merokok berdekatan haiwan peliharaan mereka. Betapa kebajikan seekor binatang pun mereka jaga. Kononnya, khuatir haiwan peliharaan sakit-sakit andai terdedah dengan asap rokok. Kita pula, sanggupkan menghembuskan asap rokok berdekatan manusia lain tanpa sekelumit rasa bersalah?
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.