Kelmarin, Aina tidak faham apabila mendengar penerangan Cikgu Hasni tentang cara jantung berfungsi. Namun hari ini, dia ceria kembali kerana guru sains kesayangannya itu membawa sebuah model jantung ke dalam kelas. Diterangkan satu persatu cara jantung berfungsi berdasarkan model tersebut.
Begitulah senario dalam pengajaran subjek sains. Ada pelbagai model yang guru sains gunakan bagi membantu kefahaman pelajarnya dalam sesi pembelajaran. Kebiasaannya, model yang digunakan berkaitan dengan tajuk-tajuk yang sukar untuk difahami.
Contohnya, tajuk berkenaan proses penyulingan berperingkat atau tajuk yang melibatkan prosedur keselamatan yang tinggi yang perlu dipatuhi seperti proses yang melibatkan nuklear.
Modul bagi Manusia
Kadang-kadang proses pengajaran perlu dilaksanakan berbekalkan modul. Namun, apa pula yang dimaksudkan dengan modul? Ia merupakan satu tatacara atau prosedur yang perlu diikuti ketika melakukan sesuatu perkara.
Biasanya ia dalam bentuk bahan bercetak atau elektronik. Seseorang guru perlu mengikut langkah demi langkah yang terkandung dalam modul berkaitan bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan modul juga merupakan antara kaedah pengajaran yang baik bagi seseorang yang mampu belajar sendiri atau mempunyai kekangan untuk berinteraksi secara bersemuka dengan tenaga pengajar seperti dalam mod pengajian jarak jauh. Namun sekiranya ia melibatkan perkara-perkara teknikal, modul sahaja tidak mencukupi. Maka model pula digunakan bagi membantu kefahaman.
Dalam kehidupan pun begitu juga. Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tidak membiarkan kita meneroka lautan yang penuh bergelora dalam bahtera kehidupan tanpa ada panduan dan bimbingan. Lantas, diturunkan kepada kita al-Quran sebagai modul kehidupan.
Sekiranya kita ingin berjaya dalam kehidupan, modul agung ini perlu kita ikut dengan cermat, satu persatu dan keseluruhannya. Tanpa meninggalkan mana-mana isi kandungan pun. Serta tidak sekali-kali memilih apa-apa yang sesuai dengan selera kita sahaja! Kalaulah salah satu langkah tertinggal dalam proses penghasilan air suling misalnya, sudah tentu kita tidak berjaya mendapatkan hasilnya.
Apatah lagi dalam kehidupan ini.
Lantaran modul ini datang daripada Pencipta Yang Maha Bijaksana, kesemuanya lengkap untuk membantu kita menjalani kehidupan dengan sempurna, sesuai dengan kehendak-Nya. Sebut sahaja apa sahaja bidang kehidupan seperti perubatan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya, semuanya ada dalam modul tersebut.
Sebagai Seorang Insan
Namun, sebagai seorang insan yang mempunyai keupayaan yang amat terhad, terkadang kita kurang jelas tentang tatacara yang perlu kita ikut. Sekali lagi, Allah mengutus Rasulullah s.a.w. sebagai rahmat sekalian alam (rahmatan lil ‘alamin). Baginda juga menerangkan kepada kita secara terperinci isi kandungan al-Quran. Tidak cukup sekadar penerangan sahaja, Baginda juga menjadi model untuk kita teladani.
Pernah suatu ketika Sayidatina Aisyah ditanya tentang akhlak Rasulullah.
Katanya: “Akhlak Baginda ialah Al-Quran.” (Riwayat Ahmad)
Ringkas dan padat jawapan Ummu Mukminin itu. Kalau al-Quran itu modul, maka Rasululah s.a.w. pula modelnya. Justeru, tidak hairanlah Baginda juga diistilahkan sebagai “al-Quran berjalan”.
Bagaimana pula jika kita ingin mengikuti Rasulullah sedangkan Baginda sudah tiada bersama kita? Ikutlah pengajian hadis dan bacalah sirah. Telusuri sejarah kehidupan Baginda. Ilmu pengetahuan yang berkaitan terdapat begitu banyak dalam bentuk bercetak atau elektonik. Tidak ketinggalan juga, pengajian secara bersemuka dengan pakar dalam bidang yang berkaitan.
Utamakan yang Wajib
Untuk melaksanakan ibadah khusus seperti solat, Baginda bersabda:
“Solatlah sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam melaksanakan ibadah juga, jangan keterlaluan. Akur dengan had kemampuan diri.
Jom, ingat semula kisah tiga orang sahabat ini:
Sahabat 1 |
: | Ingin menunaikan solat sehingga tidak akan tidur malam. |
Sahabat 2 | : |
Ingin berpuasa secara berterusan, tanpa berbuka. |
Sahabat 3 | : |
tidak akan berkahwin lantaran berpendapat bahawa kehadiran seorang wanita bergelar isteri itu akan menjadi penghalang untuknya beribadah. |
↓
Apabila Rasulullah mengetahui hal mereka, Baginda terus memanggil ketiga-tiga sahabat ini dan memperbetulkan tanggapan salah mereka tentang ibadah. Baginda mengingatkan mereka:
|
Luangkan Masa
Kadang-kadang kita menyusahkan diri lantaran kurangnya ilmu di dada. Akibat melakukan perkara di luar kemampuan, kita menjadi letih dan tidak bermaya. Kita bukan sekadar tidak mendalami atau memahami modul kehidupan, tetapi kita juga tidak berusaha untuk mengikut modul anugerah Allah ini.
Lantas, kita menganggap modul kehidupan itu sukar untuk diikuti. Sedangkan, kalau kita luangkan masa untuk memahami, menghayati dan mentadabburnya, kita akan dibimbing untuk mengikutnya dengan baik. Kesannya, hidup kita akan terbimbing, tersusun dan tenang.
Justeru, luangkanlah masa untuk al-Quran (modul kehidupan), bukan sekadar bersamanya saat ada masa terluang. Kalau kita berusaha bersungguh-sungguh memahami modul PJJ demi mencapai kejayaan dalam bidang akademik, kenapa kita sangat berkira untuk bersungguh-sungguh dalam memahami modul kehidupan, demi kejayaan hidup. Bukan sekadar di dunia, malah di akhirat.
Hidup kita akan selamat sekiranya kita layari berdasarkan modul agung anugerah Pencipta kepada kita. Begitu juga, kita akan menjadi insan yang mulia, bahagia dan berjaya sekiranya kita jadikan Rasulullah s.a.w. sebagai model ikutan kita. Demi keselamatan dan kebaikan di dunia dan akhirat, ikutlah modul dan model agung anugerah Yang Maha Esa, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ini.
Petikan: Demi keselamatan dan kebaikan dunia dan akhirat, ikutilah modul dan model agung anugerah Yang Maha Esa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.