Ada satu jenis cinta yang pastinya semua orang mendambakan. Ah, manisnya madu cinta itu, bukan biasa-biasa! Bukan tahap cinta monyet atau remaja. Bahkan sebuah cinta yang sungguh luar biasa. Itulah cinta Nabi kepada umatnya.
Pernah suatu hari Nabi meluahkan perasaan rindunya kepada sahabat dalam sebuah hadis yang panjang. Antara petikannya:
Demi Allah, yang paling mengagumkan imannya adalah kaum yang datang sesudah kamu. Mereka itu beriman kepadaku, padahal mereka semua tidak pernah bertemu denganku. Mereka membenarkan diriku tanpa pernah menyaksikan diriku. Mereka menemui tulisan dan beriman kepadaku. Mereka mengamalkan apa-apa yang ada dalam tulisan itu. Mereka membelaku seperti kamu membelaku. (Riwayat Ahmad)
Nabi tak pernah lihat kita, tetapi Baginda merindui kita. Nabi asyik menceritakan kepada para sahabat dengan nada penuh kerinduan. Harapan Nabi tinggi. Sayang Nabi suci. Kita yang tidak melihat Baginda, namun beriman kepada Baginda.
Nabi telah curahkan cinta Baginda kepada umatnya. Takkan dapat kita membalas budi jasa Baginda. Setiap kali terkenang kasih bakti Baginda, pastinya air mata pun berlinang kerana hati terharu rindu akan Baginda.
Itulah kita, umat Baginda s.a.w.! Kita sebaik-baik umat terpilih. Nabi amat mencintai kita. Kita pula bagaimana? Tepuk dada tanya iman.