Nabi Muhammad s.a.w. sangat menyayangi anak-anak kecil. Baginda akan sentiasa mencium dan memeluknya. Mengapa mencium dan memeluk? Ini bukti dan manifestasi cinta dan kasih sayang seseorang kepada bayi mahupun anak yang masih kecil.
Pernah diceritakan kisah dalam kitab Sahih al-Bukhari, seorang lelaki Arab Badwi bertanya kepada Baginda: “Apakah kalian mencium anak-anak lelaki? Sesungguhnya kami tidak mencium mereka.”
Baginda menjawab:
Aku tidak mampu berbuat apa-apa jika Allah mencabut rasa rahmat dan kasih sayang yang ada dalam hati sanubari kamu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka kita dapat fahami, sesiapa yang tidak mampu mengasihi anak kecil maknanya tiada kasih sayang dalam hati dan sanubari mereka. Hatinya kosong, tiada rasa cinta, apatah menyukai bau anak kecil tadi.
“Baginda juga pernah mencium cucu Baginda Hasan bin Ali dan di sisi Nabi ada al-Aqra’ bin Habis al-Tamimi yang sedang duduk. Al-Aqra’ berkata: “Aku mempunyai 10 orang anak, tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang pernah aku cium.”
Maka Rasulullah s.a.w. memandang al-‘Aqra’, lalu Baginda berkata: “Sesiapa yang tidak merahmati atau menyayangi, maka dia tidak akan dirahmati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Betapa tingginya cinta dan sayang Nabi kepada anak-anak kecil. Pastinya, tiada sesiapa yang mampu meniru semisal Nabi.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.