October 1, 2023
Sirah & Kisah UMUM

Nabi Tidak Pulang Rumah Mengejut

Anas berkata: “Nabi tidak pernah pulang ke pangkuan keluarganya secara mengejut pada waktu malam. Baginda tidak akan sampai di rumah melainkan pada waktu pagi atau petang.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Jabir berkata: “Nabi melarang orang pulang mendadak kepada keluarganya malam-malam.” (Riwayat al-Bukhari)

Catatan

1

Secara peribadi, saya memahami bahawa larangan Nabi bukan kerana waktu tertentu sebaliknya berkaitan keadaan tertentu. Maksudnya bukan kerana waktunya malam, maka dilarang pulang ke rumah. Sebaliknya dilarang pulang ke rumah dalam keadaan mengejut tanpa pengetahuan orang di rumah walaupun pada siang hari.

Pada zaman Nabi, pulang ke rumah pada waktu malam kebiasaannya pasti mengejut dan menyusahkan. Hal ini kerana ahli keluarga di rumah tidak sempat bersiap seadanya memandangkan tiada maklumat awal. Berbeza dengan pulang pada waktu siang, dari kejauhan sudah dilihat orang lantas menguar-uarkan kedatangan suatu rombongan. Maka ahli keluarga di rumah boleh mengagak lalu bersedia sekadar yang perlu.

Namun pada hari ini, dengan teknologi komunikasi yang semakin berkembang, perkara begini tidak seharusnya berlaku lagi. Hal ini kerana kita boleh sahaja memaklumkan kepulangan dengan lebih awal. Malah andai pulang lewat malam pun tidak mengapa.

2

Prinsip utamanya, jangan pulang dalam keadaan mengejut sehingga pasangan tidak bersedia, apatah lagi dengan rumah yang bersepah-sepah.

3

Antara hikmah di sebalik larangan Nabi ini, Ibn Battal mengulas bahawa agar tidak timbul perasaan tidak suka kepada isteri sebaik melihat keadaannya yang tidak elok. Maka Nabi mengingatkan para suami supaya melakukan apa-apa sahaja perkara yang lebih mengekalkan hubungan baik dengan isteri dan mengukuhkan lagi cinta. (Syarah Sahih al-Bukhari)

4

Hal ini berkenaan dengan rumah sendiri, termasuklah dengan anak isteri. Maka boleh kita katakan bahawa berkunjung ke rumah orang lain secara mengejut juga tidak menepati sunnah. Walaupun atas apa jua alasan misalnya memberi kejutan yang kononnya boleh merapatkan lagi hubungan, mahupun kerana tidak mahu menyusahkan tuan rumah yang akan menyediakan hidangan.

Jika hendak buat kejutan, berilah kejutan dalam bentuk hadiah istimewa yang dibawa. Jika tidak mahu menyusahkan, maklumkan terus bahawa kita akan membawa makanan untuk dimakan bersama. Inilah adab sebenar yang digariskan Islam.

Subscribe

Gain access to all our Premium contents.
More than 100+ articles.

Free Trial

Free trial access for 200 articles.
Click now

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?