Kadangkala hati tertanya-tanya juga, kenapa cinta selepas kahwin (yang usianya bertahun-tahun) tidak sehangat dulu. Dulu, berpisah terasa rindu… tetapi kini lain sekali. Walaupun masih ada rasa rindu, tetapi tidak lagi sehangat dulu. Rindu itukan buah cinta, jika tidak ada rindu ertinya tidak ada buah cinta. Cinta yang tidak berbuah, tentulah cinta yang layu!
Apabila berjauhan, ada juga berkirim SMS tetapi tidaklah sekerap dulu. Sekadar bertanya, apa khabar di sana? Macam mana anak-anak? Atau sekadar minta doanya. Tidak ada lagi kalimah cinta berbunga bunga. Atau pujuk rayu yang sayu-sayu. Ah, biasa-biasa sahaja.
Betulkah selagi cinta itu diburu, ia akan indah? Tetapi apabila ia telah dimiliki, keindahannya akan pudar sedikit demi sedikit. Kata orang tua-tua dahulu, apabila jauh (masih belum dimiliki) berbau bunga, apabila dekat (sudah hari-hari di sisi) keharumannya tiada lagi. Ah, begitukah adat dunia?
Kata sesetengah lelaki (entah spesies mana), wanita kelihatan cantik selagi tidak menjadi isteri kita. Setelah menjadi isteri, kecantikannya akan hilang. Jika semua lelaki berpandangan begitu, rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kehendaknya tidak terbatas. Kerenahnya tidak kenal puas. Melayani nafsu bagai meminum air laut, semakin diminum semakin haus.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.
Free Trial
Free trial access for 200 articles.Click now