Apabila kita sedang berdepan dengan kemurungan, apa yang kita akan tolak ke depan untuk berjuang bagi pihak kita?
Adakah kita akan tolak akal yang kita harap waras dan tidak terlalu mengikut emosi. Atau kita ingin menolak jasad yang kita belai dan sanjung supaya kuat dan gagah menangkis serangan yang boleh membuatkan kita murung. Atau sekurang-kurangnya mampu tersenyum.
Atau kita ingin menolak mental sendiri untuk berjuang bermati-matian berdepan dengan murung. Atau mungkin bala tentera spiritual yang akan berdepan dengan kemurungan penuh iman dan rasa kehambaan?
Hakikatnya, kesemua aspek diri kita ini boleh dikerah dan digembleng bagi berdepan dengan kemurungan.
Pencegahan dan Rawatan
Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk merawat kemurungan. Ini semua boleh diguna pakai dalam situasi murung belum lagi serius atau kronik. Kalau kronik perlu dapatkan rawatan klinikal. Langkah ini lebih kepada langkah pencegahan dan boleh diintegrasikan dengan rawatan klinikal daripada psikatri.
Allah berfirman:
Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Kemudian Allah berfirman lagi:
Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak juga bergembira dengan apa yang diberikan kepadamu. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membangga diri. (Surah al-Hadid 57: 22-23)
Agama Jadi Solusi
Agama tidak boleh dikesampingkan dalam apa-apa jua aspek hidup Muslim. Termasuk juga dalam menangani kemurungan. Agama bukan sahaja cara hidup, bahkan solusi bagi banyak masalah dan konflik yang dihadapi oleh manusia.
Kemurungan boleh dikendurkan dengan sistem kepercayaan yang kita pegang. Ia adalah akidah dan rukun iman yang kita kita percaya dengan hati dan iktiraf dengan lisan dan perbuatan. Kesemua set sistem kepercayaan ini membentuk individu Muslim yang mempunyai corak fikir yang mampu membenteng mereka daripada kemurungan yang kronik.
Ibadah pula menjadi agenda harian yang menjadikan jiwa kita kuat. Akhlak pula menyediakan sikap yang perlu kita bawa dalam hidup, yang mana akhirnya sikap ini menjadi alat yang memampukan kita berdepan dengan tekanan dan kemurungan.
Akidah | Ibadah | Akhlak |
1. Percaya qada dan qadar. 2. Beriman dengan hari akhirat. 3. Beriman dengan nama dan sifat Allah. 4. Pemahaman tentang musibah dan kesedihan. 5. Allah Maha Besar, jadi apa-apa sahaja cabaran hidup termasuk kemurungan terasa kecil. |
1. Solat. 2.Tahajud. 3. Doa. |