Perkataan “pelampau”, jika dirujuk dari terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud orang yang melakukan sesuatu berlebih-lebihan sehingga memberikan ancaman. Dasawarsa kini, istilah pelampau sering disebut sebagai ekstrem, radikal dan fundamental. Bahkan ia turut digunakan dengan nuansa-nuansa tertentu.
Sejarah pelampau agama dalam sejarah Islam atau mengada-ngadakan ajaran baru sudah lahir bertahun lamanya sejak kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Ia bukan sesuatu yang baharu. Selepas Nabi wafat, muncullah individu-individu yang mendakwa dirinya sebagai rasul, nabi, Imam Mahdi dan sebagainya serta menyebarkan ajaran-ajaran melampau mereka kepada masyarakat.
Antaranya Musailamah al-Kazzab, al-Aswad al-Anusi, Talhah al-Asadi dan lain-lain lagi. Namun, pelampau agama mula dijenamakan semula dengan pelbagai istilah dan terma.
Rasulullah pernah berpesan:
Berhati-hatilah dengan pelampau agama. Orang dahulu telah binasa disebabkan sikap melampau dalam beragama. (Riwayat Ahmad)
Tidak adil juga jika kita melabelkan seseorang itu pelampau jika dia tegas berpegang kepada pandangan hukum atas dasar hujah tanpa bercanggah dengan al-Quran dan sunnah. Sudah menjadi kehendak Allah dalam mencipta manusia dengan akal fikiran berbeza-beza, masing-masing mempunyai pandangan dan cita rasa berbeza.
Malah ini juga salah satu bukti kekuasaan Allah.
Dr. Thaha Jabir Fayyadh al-Alwani dalam kitab Adab Perbezaan dalam Islam menyatakan perbezaan pendapat adalah fenomena tabii, tetapi jangan sampai melampaui batas. Kita perlu sentiasa menjaga adab-adabnya supaya tidak bercanggah dengan wahyu.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.