Dahulu di Makkah, ada seorang lelaki yang kuat dan hebat, namun penentang Islam tegar. Adik iparnya sendiri pernah diikat oleh abang iparnya itu kerana memeluk Islam. Malah, jika dilihat apa yang dilakukannya kepada adik ipar dan isterinya, dia dikira bukan orang yang ada harapan untuk memeluk Islam.
Dek kekerasannya terhadap Muslimin, Amir pernah mengatakan bahawa dia tidak akan masuk Islam sehingga keldai ayahnya berbuat demikian! Orang yang dimaksudkan adalah Umar bin al-Khattab.
Suatu hari pada zaman jahiliah, Umar keluar untuk mencari Rasulullah s.a.w. Dia mendapati Baginda telah mendahuluinya ke masjid. Dia pun berdiri di belakang Baginda. Kemudian, Baginda mula membacakan surah al-Haqqah. Umar terpesona dengan bacaan al-Quran yang dialunkan Rasulullah. Hatinya berkata, “Demi Allah, dia memang seorang penyair!”
Lalu Rasulullah membaca ayat yang bermaksud, “Ia adalah ucapan utusan yang mulia. Ia bukanlah ucapan penyair, namun sedikit pun kamu semua tidak beriman.” (Surah al-Haqqah 69: 40-41)
Hati umar berdetik lagi, “Tukang tilik!”
Rasulullah seolah-olah dapat membaca isi hati Umar. Maka sekali lagi Umar dikejutkan dengan bacaan Baginda:
“Ia bukan pula ungkapan tukang tilik. Namun sedikit pun kamu semua tidak mengambil peringatan. Ia ungkapan yang turun daripada Tuhan sekalian alam.” (Surah al-Haqqah 69: 42-43)
Mulai saat itu, ada sesuatu yang timbul di hati Umar tentang Islam. (Riwayat Ahmad)
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.