Peristiwa semasa kecil itu terimbas kembali. Tabiat yang bermula semasa fasa pemikiran masih dangkal dan akal tidak berfikir panjang. Ya, ketika itu saya masih kecil, naif dan belum banyak mengerti. Teringin makan rojak petis yang dijual tidak jauh dari rumah, saya seluk saja poket seluar abah. Ambil sekeping duitnya.
Duit dan rojak bertukar tangan. Teruja! Wah, saya sudah pandai membeli sendiri!
Tetapi saya panik apabila penjual mengembalikan begitu banyak duit kepada saya. Eh, saya bagi sekeping saja duit kertas, kenapa pula dia kembalikan banyak duit kertas dan duit syiling?
Zaman Kecilku
Ya Tuhan… memang naif sungguh saya ketika itu. Nilai duit pun saya tak tahu! Seronok dapat rojak idaman, tetapi sungguh hati saya menggeletar. Tak tahu ke mana nak bawa yang duit banyak itu. Akhirnya apa saya buat? Letak semula ke dalam poket seluar abah. Hah, apa lagi. Memang kantoilah.
Zaman kanak-kanak dan remaja yang celaru. Itulah saya. Bukannya tak belajar agama. Bukannya tak tahu dosa dan pahala, tetapi nafsu bermaharajalela. Lalu saya ikutkan saja apa mahunya. Suka tengok buku nota dan pen berwarna-warni, suka itu dan suka ini, saya ambil saja duit mak dan abah. Kemudian beli.
Mak dan abah buka kedai runcit di depan rumah. Laci duit itu memang selalu menjadi sasaran saya. Setiap kali kantoi, berbiratlah satu badan menanggung bahananya. Sakit, tetapi bukan tahu serik! Dari zaman kanak-kanak menjangkau usia remaja, itulah tabiat saya. Sehinggalah Allah rezekikan hidayah menerusi satu peristiwa biasa, tetapi dengan perasaan yang sangat luar biasa.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.