Apabila bercerita tentang taubat, ia menandakan seseorang Muslim itu telah memasang niat dan membulatkan tekadnya untuk berubah menjadi lebih baik. Barangkali sebelum ini, dirinya telah terjebak dengan perkara-perkara yang tidak baik, maka diharapkan agar dirinya dapat meninggalkan segala tingkah laku buruknya itu.
Walau bagaimanapun, taubat tidak terhenti setakat di situ sahaja. Hal ini kerana taubat melibatkan dua bentuk interaksi yang penting iaitu interaksi dengan Allah SWT dan interaksi dengan manusia yang lain. Taubat yang berjaya adalah apabila interaksi ini dapat dilakukan.
Boleh dikatakan juga taubat memerlukan seseorang itu meleraikan kembali simpulan ‘tali’ yang menghubungkan dirinya dengan Allah (habl minallah) dan simpulan ‘tali’ yang menghubungkan dirinya dengan sesama manusia (habl minannas) yang telah menjadi mangsa. Namun, andai melibatkan Allah SWT sahaja, berurusanlah dengan-Nya dan jika melibatkan sesama manusia sahaja, berurusanlah dengan mereka. Begitulah.
Cabaran Utama
Jika kita sudah mengisytiharkan bahawa diri kita sudah bertaubat di hadapan Allah SWT, kita juga perlu melakukan perkara yang serupa kepada sesiapa yang pernah kita lakukan kesalahan. Namun, apa yang dibimbangi ialah kita terpaksa pula menghadapi pelbagai halangan yang ditakuti dapat membantutkan usaha ini. Antara perkara yang boleh menjadi halangan ialah faktor persekitaran.
Faktor persekitaran yang dimaksudkan ialah rakan dan taulan. Boleh jadi rasa ingin bertaubat itu datang daripada sanubari kita sendiri. Namun, sudah pasti ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Hanya tinggal berani atau tidak sahaja untuk melakukannya. Memilih untuk bertaubat dan kekal bersama rakan dan taulan lama agak sukar kerana barangkali sedikit demi sedikit kita mudah untuk kembali semula kepada kehidupan lalu hasil pengaruh rakan. Itulah yang dibimbangi.
Begitu besarnya pengaruh rakan dan taulan itu. Justeru, betapa pentingnya untuk kita fahami bahawa taubat bukan hanya setakat kita berusaha untuk kembali dekat kepada Allah SWT bahkan kita perlu juga berusaha untuk keluar daripada “kepompong” dosa dan maksiat.
Ya, yang dimaksudkan dengan “kepompong” sama maksudnya dengan persekitaran iaitu rakan dan taulan. Mengapa perlu risau? Jika kita benar-benar ingin bertaubat, tinggalkan sahaja mereka. Carilah “kepompong” baharu agar dapat melindungi diri daripada godaan yang mendatang.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.