Agama Islam menerusi syariat yang dibawanya bersikap sangat tegas terhadap isu fitnah. Hal ini dapat kita lihat melalui pensyariatan hukuman bagi perbuatan qazaf. Apa itu qazaf? Secara mudahnya, qazaf bererti satu perbuatan menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau penafian nasab.
Qazaf juga boleh difahami sebagai perbuatan fitnah. Fitnah yang tersangatlah besar sehingga menuduh seseorang melakukan perbuatan yang tercela. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq. (Surah al-Nur 24: 4)
Perbuatan qazaf boleh menyebabkan pelakunya dihukum dengan hukuman hudud iaitu disebat sebanyak 80 kali sebatan serta digugurkan kesaksian mereka. Lihatlah, betapa Islam memelihara maruah umatnya daripada menjadi mangsa kepada fitmah yang melampau.
Fitnah Umpama Rantai
Kita juga perlu memahami bahawa fitnah diumpamakan sebagai seutas rantai. Apabila munculnya sesuatu fitnah, ia akan tersebar. Semakin jauh fitnah tersebut tersebar, semakin panjanglah rantaian fitnah tersebut. Ditambah pula dengan kemajuan teknologi dan media massa hari ini, tidak dapat dibayangkan sejauh mana fitnah tersebut mampu tersebar.
Ya, fitnah umpama rantai. Rantai yang bertaut kemas selagi tiada sesiapa yang memutuskannya. Fitnah pun begitu. Selagi rantaian fitnah tidak diputuskan, maka selagi itulah fitnah akan terus tersebar dan subur.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.