January 13, 2025
Sirah & Kisah UMUM

Rasulullah Pejuang Hak Binatang

Abdullah Ibn Mas‘ud meriwayatkan bahawa pada suatu hari, beliau dan para sahabat berada dalam satu perjalanan (musafir). Kemudian mereka singgah di suatu tempat dan Rasulullah s.a.w. beredar menunaikan hajatnya.

Para sahabat ternampak seekor burung berwarna merah yang bersama dua ekor anaknya di dalam sarang, maka mereka mengambil salah seekor daripada anak burung tersebut. Ibu burung tersebut datang mengibas-ngibas kepaknya sebagai tanda protes kerana anaknya diambil. Ibu, pantang anaknya diapa-apakan.

Kemudian Rasulullah datang. Melihat keadaan tersebut, Baginda pantas bersuara: “Siapa yang mengganggu anak burung ini? Pulangkan semula anaknya kepada ibunya.” Itulah Rasulullah, begitu memahami gelisah hati si ibu burung, lantas mengarahkan sahabat mengembalikan semula anak burung tersebut ke sarangnya.

Abdullah Ibn Mas‘ud kemudian menceritakan saat Rasulullah terlihat sarang semut yang mereka bakar. Baginda bertanya: “Siapa yang membakar ini?”

Para sahabat menjawab: “Kami.”

Baginda kemudian berpesan: “Tidak dibenarkan untuk menyeksa dengan api melainkan Pemilik api neraka.”

Keprihatinan Rasulullah terhadap busut si semut yang dibakar juga mengajar kita betapa Baginda benar-benar rahmat bagi seluruh alam.

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?