Al-Quran itu turun dari Loh Mahfuz ke langit dunia. Al-Quran yang sama seterusnya diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. Al-Quran itu jugalah yang disampaikan oleh Baginda kepada para sahabat, seterusnya diwariskan kepada kita semua. Jauh sekali perjalanan al-Quran.
Asalnya dari langit, disambut Nabi terakhir, kemudian menjadi satu-satunya Kitab di dunia yang paling autentik. Dipendekkan cerita, kini al-Quran itu berada di tangan kita. Al-Quran yang isi kandungannya sama dengan dahulu. Tidak berubah walau sedikit!
Al-Quran itu ibarat santapan dari langit. Jika kita memandang al-Quran umpama santapan, maka kita tidak jemu ingin membacanya setiap hari. Bahkan berkali-kali sehari. Ini kerana kita faham ia keperluan asasi. Ia makanan ruji bagi hati.
Menariknya santapan dari syurga ini, ia sudah sedia boleh digunakan. Ia bukan bahan mentah yang perlu diolah. Bahkan ada pula perantara (Rasulullah) yang menjelaskan maksud isi kandungannya.
Ironi sekali, al-Quran mampu mengikat hati Rasulullah, para sahabat dan orang soleh. Namun belum tentu mampu memikat hati kita. Sedangkan itu al-Quran yang sama. Betapa al-Quran itu memang sudah hebat dan sebuah mukjizat, namun hati kita pula bagaimana? Apa reaksi dan aksi hati kita tatkala berinteraksi dengan al-Quran?
Ingin mendekat atau menjauh?
Allah menjelaskan yang bermaksud:
Kemudian Kami wariskan al-Quran itu kepada orang yang Kami pilih dalam kalangan hamba-hamba Kami. Antara mereka ada yang menzalimi dirinya sendiri dan ada yang pertengahan, serta ada pula yang mendahului dalam melakukan kebaikan dengan izin Allah. Itu adalah kurniaan yang besar daripada Allah. (Surah Fatir 35: 32)
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.