Mungkin kita memandang orang yang dapat makan banyak dan makan sedap-sedap sebagai insan yang sangat bertuah. Lantas, kita mula cemburu. Padahal bukan begitu.
Lihat Rasulullah s.a.w. Baginda diriwayatkan tidak pernah makan kenyang selama tiga hari berturut-turut. Aisyah r.ha. berkata:
Sejak tiba di Madinah, keluarga Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah kenyang makan roti yang terbuat daripada gandum tiga hari berturut-turut sehingga Baginda wafat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mampukah kita bayangkan situasi yang dialami oleh Rasulullah ketika itu? Apabila kita teliti ayat “tidak pernah kenyang tiga hari berturut-turut”, maksudnya ada hari yang Baginda tiada makanan dan tidak makan. Sekurang-kurangnya sekerap setiap tiga hari sekali.
Bukannya Baginda tidak mampu, cuma Baginda sering mengutamakan insan lain. Tangannya pantas menghulurkan apa-apa sahaja yang ada di rumah kepada orang lain. Lebih pantas daripada kilat. Tanpa berfikir walaupun sekali.
Padahal fasa Baginda berada di Madinah adalah fasa kemuncak Islam mula berkembang. Ini bukan lagi fasa Islam berkembang pada aspek pegangan ketuhanan yang kuat, bahkan ini fasa Islam menjadi sistem yang memerintah negara. Apatah lagi Baginda kala itu ketua sebuah negara Islam Madinah. Mengikut logik akal kita, seorang pemimpin yang ulung dan agung tidak cocok menahan perut kelaparan.
Tetapi itulah Rasulullah… Memilih untuk hidup sederhana pada saat Baginda berhak ke atas 1/5 ghanimah (harta rampasan perang).
Ya, hadis di atas bukan mengajar kita untuk ikut berlapar. Cuma mengajak kita untuk bersederhana. Malangnya hari ini, kebiasaan berhenti makan sebelum kenyang pun kita tidak mampu laksanakan, kita tambah buruk lagi dengan sikap membazir. Bahkan tahap membazir itu makin menjadi-jadi pula pada bulan ibadah, dalam madrasah Ramadan.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.