Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu) bahawa Kami telah binasakan banyak daripada kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar? Dan tidakkah mereka itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering-kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati?” (Surah al-Sajdah 32: 26-27) Tafsiran Ayat
Jadilah Orang yang Peduli Orang Arab Quraisy di Makkah terkenal sebagai pedagang. Mereka berdagang semasa dua musim iaitu musim panas dan musim sejuk. Sudah tentu perjalanan untuk ke Syam itu akan melalui satu kawasan yang bernama Mada’in Salih yang terletak di utara Makkah. Kawasan ini suatu ketika dahulu merupakan tempat tinggal suatu kaum yang hebat. Mereka berkeupayaan memahat bukit bukau untuk dijadikan rumah. Siapakah kaum itu? Itulah kaum Thamud iaitu kaum Nabi Salih AS.
Akhirnya kaum Thamud dibinasakan Allah. Tatkala Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kaum Quraisy, ada dalam kalangan mereka yang menentang Baginda. Walhal, selama ini mereka sering sahaja melalui Mada’in Salih, namun seolah-olah mereka tidak peduli tentang azab yang menimpa kaum Thamud yang mengingkari rasul mereka. Memandangkan kaum tersebut telah dibinasakan, mana mungkin mereka dapat melihat kesan-kesan peninggalan mereka. Sebab itu, Allah SWT mengajukan persoalan, “Tidakkah mereka mendengar?” Sudah pasti mereka pernah mendengarnya. Namun kerana sombong, mereka mengabaikan sahaja berita tentang kaum Thamud itu. Nikmat yang Perlu Diperhatikan Menerusi ayat ke-27 pula, Allah SWT menyindir kafir Quraisy yang tidak mahu memerhatikan kekuasaan dan kehebatan-Nya pada alam sekeliling. Manusia yang bersih hatinya akan melihat alam ini sebagai suatu “karya” yang menakjubkan. Bermula dengan hujan yang turun dari langit, airnya dimanfaatkan oleh biji-biji benih untuk tumbuh dan bercambah. Kemudian setelah itu, menjadi sumber makanan kepada binatang dan manusia sendiri.
Segala nikmat yang Allah SWT ceritakan ini dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, bagi orang yang tidak beriman kepada-Nya, semua itu tidak memberikan apa-apa makna kerana mata hatinya sudah tertutup. Samalah dengan orang kafir Quraisy yang tidak beriman walaupun tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT ada di hadapan mata mereka. Iktibar dan Peduli Persekitaran Orang yang beriman perlu mengambil iktibar daripada sikap orang kafir Quraisy Makkah yang tidak mahu peduli dan tidak mahu memerhatikan. Mereka bukan sahaja tidak kisah dengan perkara yang tidak dilihat dengan mata kepala sendiri, bahkan perkara yang terpampang di hadapan mata pun tidak dipedulikannya. Justeru, seorang Mukmin perlu cakna dengan keadaan sekeliling. Walaupun tidak dapat melihatnya, setidak-tidaknya kita mengambil tahu tentang perkara tersebut. Umpamanya ibadah haji. Orang yang tidak berpeluang untuk menunaikan haji tidak bermakna kewajipan ibadah itu boleh diabaikan begitu sahaja. Masih boleh mendengar pengalaman mereka yang sudah berpeluang menunaikannya. Begitu juga dengan fenomena alam yang berlaku di sekeliling kita. Semua itu dapat dilihat bagi meningkatkan lagi rasa keimanan kita kepada Allah SWT. “Mengapa tidak mendengar dan tidak melihat?” Itulah sindiran Allah SWT kepada orang kafir Quraisy, sekali gus menjadi peringatan untuk kita semua selaku orang yang beriman kepada-Nya. Dengan cara itulah ilmu diperoleh. |
