Pada keluaran yang lalu telah dibincangkan berkenaan fardu wuduk. Insya-Allah kali ini akan dibincangkan pula berkenaan sunat-sunat wuduk.
Apa yang dimaksudkan dengan sunat-sunat wuduk? Sunat ialah amalan yang digalakkan supaya dikerjakan sama ada sebelum mengambil wuduk, semasa atau selepas berwuduk.
Sunah Sebelum Berwuduk
- Bersugi ialah sunah Rasulullah s.a.w. yang mana Baginda amat menggalakkan umatnya mengamalkan sunnah ini. Bersugi termasuk dalam sunat wuduk berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Seandainya tidak memberatkan umatku, nescaya akan aku perintahkan mereka untuk bersugi setiap kali solat.” (Muttafaq ‘alaih)
- Membaca basmalah pada permulaan sebelum berwuduk. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “…tidak ada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah.” (Riwayat Abu Daud no. 101, Ibn Majah no. 398 dan al-Baihaqi no. 195)
Dalam sebuah hadis riwayat al-Tabrani pula, Rasulullah bersabda kepada Abu Hurairah yang bermaksud: “Apabila kamu berwuduk, maka ucapkanlah, ‘Bismillah walhamdulillah (dengan nama Allah dan segala pujian bagi Allah).’ Jika engkau memeliharanya maka akan dituliskan bagi kamu kebaikan yang tiada henti hingga wudukmu batal.” (Kanz al-‘Ummal)
Sekiranya terlupa dan teringat bahawa belum lagi membaca basmalah pada pertengahan berwuduk, maka bacalah:
……………………..
Maksudnya: “Dengan nama Allah dari awalnya dan akhirnya.”
Sunah Semasa Berwuduk
- Melebihkan basuhan anggota wuduk. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya umatku akan datang pada hari kiamat dengan wajah yang bersinar kesan daripada berwuduk. Siapa di antara kalian yang mampu melebihkan (batas kawasan) membasuh muka, maka lakukanlah.” (Muttafaq ‘alaih)
- Berkumur-kumur. Ibn Juraij meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika engkau berwuduk maka berkumur-kumurlah.” (Riwayat Abu Daud no. 144)
- Memasukkan air ke dalam hidung (istinshaq) atau istinshar (menyedut air ke dalam hidung kemudian dihembus keluar). Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang berwuduk maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya dan mengeluarkannya kembali…” (Riwayat al-Bukhari no. 159 dan Muslim no. 585)
- Menyapu semua pada bahagian kepala.
- Membasuh kedua-dua telinga.
- Menyelat celahan seperti celah jari tangan, jari kaki, misai dan janggut. Jari tangan dan jari kaki diselatkan dengan jarijari tangan secara berselang. Manakala misai dan janggut yang tebal sunat diselatkan dengan jari-jemari, namun bagi yang misai atau janggut yang nipis wajib menyelati. Tetapi kalau misai dan janggut itu ada pada wajah wanita sama ada nipisatau lebat wajib diselatkan tanpa kecuali. Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. mengambil sedikit air ketika berwuduk, lalu menyiramkan ke bawah janggutnya. Kemudian Baginda menyelatkan janggut tersebut dan bersabda yang bermaksud: “Demikianlah Rab-ku memerintahkanku.” Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Jika engkau berwuduk, maka selalah jari-jemari tangan dan jari-jari kakimu.” (Riwayat al-Tirmizi no. 39)
- Mendahulukan membasuh anggota sebelah kanan daripada yang kiri. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu memakai pakaian dan apabila berwuduk, maka mulakanlah dari sebelah kananmu.” (Riwayat Abu Daud no. 4143 dan al-Baihaqi no. 412)
- Menghadap kiblat ketika berwuduk (mazhab Hanafi dan Maliki).
- Membasuh dan menyapu setiap anggota tiga kali. Hadis ini masyhur berdasarkan riwayat daripada beberapa orang sahabat.
- Menggosok-gosok secara lembut anggota wuduk.
- Bersederhana menggunakan air untuk berwuduk, tidak membazir.
- Tidak bercakap-cakap semasa berwuduk, mengikut sunah Rasulullah s.a.w.
Sunah Selepas Wuduk
- Berdoa. Anjuran ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidaklah sia-sia salah seorang daripada kamu yang berwuduk lalu menyempurnakannya, kemudian dia membaca: ‘Aku bersaksi bahawa tiada Ilah (yang berhak disembah) selain Allah dan se sungguhnya Muhammad itu hamba dan utusanNya,’ melainkan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Maka masuklah pada mana-mana pintu yang dikehendakinya.” (Riwayat Ibn Hibban no. 1050)
- Solat dua rakaat selepas berwuduk.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.
Free Trial
Free trial access for 200 articles.Click now