Suatu malam, aku berbaring senang dalam sebuah bilik yang sederhana saiznya. Tiba-tiba, terdengar ketukan pintu beberapa detik. Tanpa menunggu aku mengizinkan untuk masuk, pintu bilik terbuka. Ya, dia insan yang tidak perlu mengetuk pintu untuk masuk, apatah lagi meminta izin.
“Dah solat Isyak?”
“Dah.” Aku menjawab dengan begitu yakin. Kiranya sudah mahir hipokrit begini.
Dia memandangkan dengan rasa syak. Aku dapat dapat lihat hujung matanya seolah-olah berteka-teki, benarkah aku sudah menunaikan solat Isyak?
Tahun Depan Layak Dipukul
Ayah dan ibu berjemaah di surau berdekatan rumah. Sekadar berjalan kaki sejauh 5 minit sahaja. Aku? Ibu tidak wajibkan aku; kanak-kanak lelaki hingusan yang baru berusia 9 tahun untuk solat berjemaah di masjid. Tetapi aku sedar, tahun depan aku layak dipukul jika masih tidak menunaikan solat.
“Jangan lupa ya, Allah nampak apa yang kita buat.” Lembut sahaja tutur ibu. Kemudian, ibu berlalu pergi begitu sahaja.
Kata-kata ini menyentuh satu sudut di hatiku. Sungguh, Allah nampak apa yang kita buat. Dia Maha Melihat. Tanpa disuruh, aku bangun dan berwuduk. Aku menunaikan solat Isyak, sempurna syarat dan rukunnya bagi seorang kanak-kanak. Walaupun ketika itu aku belum faham maksud bacaan dalam solat. Yang aku tahu, Allah sedang melihatku, walaupun ibu tidak melihatku.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.