October 1, 2023
Sirah & Kisah UMUM

Syiar Islam Bertapak di Yathrib

Setelah tiba di Yathrib, Rasulullah SAW terus menunggang unta Baginda, diiringi oleh orang ramai. Apabila tiba di satu kawasan, unta Baginda berhenti dan duduk sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari. Di tapak inilah kelak bakal didirikan masjid.

Antara perkara terawal yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas tiba di Yathrib adalah membina masjid. Hal ini kerana masjid merupakan salah satu daripada lambang atau syiar Islam. Masjid ialah tempat solat didirikan secara berjemaah, sekali gus tempat yang menautkan hati seorang hamba dengan Tuhannya bagi membersihkan hati daripada segala kotoran.

Ya, benar. Selama berada di Makkah, umat Islam tidak dapat menzahirkan syiar yang satu ini.

 

Tapak Masjid: Wakaf atau Beli?

Ketika itu, tempat berhenti duduknya unta Nabi SAW merupakan satu kawasan yang dijadikan tempat solat oleh sekumpulan lelaki Islam. Ia juga turut menjadi tempat pengeringan buah kurma. Kawasan ini pula terletak di atas sebidang tanah yang dimiliki oleh dua orang anak yatim. Kedua-dua anak yatim tersebut berada di bawah penjagaan As‘ad bin Zurarah.

Rasulullah SAW bersabda: “Insya-Allah, di sinilah (akan dibina) rumah.” Baginda demikian tatkala unta Baginda melipatkan kedua-dua kakinya dan duduk di atas tanah tersebut.

Mengetahui tentang status pemilikan tanah tersebut, Baginda memanggil kedua-dua orang anak yatim pemilik tanah tersebut bertujuan untuk membeli tanah tersebut daripada mereka. Namun, jawapan yang diterima oleh Baginda adalah sebaliknya. Mereka berkata: “Tidak, kami hadiahkannya kepada tuan, wahai Rasulullah!”

Walau bagaimanapun, Rasulullah tidak berkenan untuk mengambil tapak masjid ini secara percuma. Akhirnya, Baginda tetap membelinya daripada mereka berdua.

Ada riwayat lain yang menyebut bahawa kawasan tapak masjid ini dimiliki oleh sekumpulan orang dari Bani Najjar. Baginda SAW telah bersabda kepada mereka: “Wahai Bani Najjar, sebutkan kepadaku harga tanahmu ini?”

Subscribe

Gain access to all our Premium contents.
More than 100+ articles.

Free Trial

Free trial access for 200 articles.
Click now

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?