Tatkala Rasulullah s.a.w. masih berada dalam kesedihan kerana kehilangan bapa saudara tersayang, seorang lagi insan penting, suri hati Baginda pula dipanggil menghadap Ilahi.
Menurut Ibn Hisyam, peristiwa ini berlaku tiga tahun sebelum Baginda berhijrah ke Madinah. Ibn al-Jawzi dan al-Mansurfuri memperincikan bahawa peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadan, tahun ke-10 kenabian.
Khadijah meninggalkan Baginda ketika berusia 65 tahun. Baginda pula ketika itu berusia 50 tahun.
Serikandi Tercinta
Resmi insan berjasa. Walaupun jasad dan nyawa sudah tiada, namanya segar dalam sanubari Baginda. Jasanya dikenang. Apatah lagi beliau satu-satunya insan yang menjadi suri hati Baginda, sepanjang hidupnya.
Memang Rasulullah tidak pernah berkahwin dengan mana-mana wanita lain sepanjang hayat Khadijah.
Rasulullah pernah bersabda, “Dia telah beriman kepadaku ketika orang ramai kufur akan kenabianku. Dia telah membenarkan aku ketika orang ramai mendustakan aku. Dia telah membantuku dengan hartanya ketika orang lain tidak mahu menghulurkan. Allah telah merezekikan zuriat kepadaku melaluinya, tidak melalui isteri-isteriku yang lain.” (Riwayat Ahmad)
Dek pelbagai sumbangan beliau terhadap Islam, sedari awal dakwah hingga akhir hayatnya, banyak kelebihan Sayidatina Khadijah disabdakan oleh suaminya.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.