Sewaktu bertemu mata dengan bapa arwah Ahmad Ammar, Haji Ahmad Azam dan menemu bual beliau tentang khidmat kesukarelawanan, saya akhirnya membuka mulut untuk bertanya tentang anaknya yang mendapat gelaran al-syahid itu.
“Bagaimana Tuan Haji mendidik Ammar? Sudah enam tahun berlalu, namun saya percaya tiada sesiapa pun yang dapat melupakan beliau. Bahkan saya juga percaya, tiada sesiapa yang tidak kenal beliau.”
“Betul, sampai sekarang masih ramai sering bertanya tentang Ammar dan bercerita tentangnya. Saya pun tak pasti bagaimana boleh terjadi begini.”
Hasrat hati ingin mengorek rahsia didikan si ayah terhadap anaknya itu sehingga memberi impak yang mendunia. Alang-alang bertemu mata, teringin untuk bertanya sendiri.
Teringin juga tahu, kalau-kalau si ayah atau si anak ada amalan tersendiri. Atau adakah disebabkan berkat si ayah bergelumang dengan aktiviti kesukarelawanan sepenuh masa, maka Allah ganti dan balas dengan anak yang soleh begitu. Kematiannya bahkan menghidupkan jiwa begitu ramai pemuda lain.
Ammar mencipta fenomena!
Sedang fikiran saya terawang-rawang memikirkan pelbagai kemungkinan, Tuan Haji Azam menjawab: “Ammar ni, dia suka bantu orang. Kalau boleh sebelum orang meminta bantuan lagi. Seandainya orang sudah bersuara memohon bantuan, dia akan terasa seolah-olah dia sudah gagal membantu.”
Allah, hati terasa bagai disimbah api tazkirah yang memberi kesan di jiwa.
“Masya-Allah…” sambil mengucapkan lafaz tanda kagum, saya percaya, kita perlu bertanya pula tentang sumbangan kita kepada ummah. Apa pula khidmat kita kepada umat? Khidmat tanpa disuruh, tanpa dipinta.
Penyandang Umat Terbaik
Untuk mampu ke tahap tersebut, kita perlu faham bahawa apabila Allah anugerahkan kita, umat Islam sebagai penyandang umat terbaik (surah Ali ‘Imran ayat 110), ia juga datang bersama tuntutan untuk merealisasikannya. Ia bukanlah satu darjat yang boleh disandang secara automatik tanpa memenuhi syarat dan kriteria umat terbaik itu.
Ibaratnya, seorang lelaki yang mendapat zuriat hasil darah dagingnya sendiri, pasti akan digelar ayah. Namun ada beza antara ayah yang bertanggungjawab dengan ayah yang tidak bertanggungjawab. Ada beza antara ayah yang menitikberatkan soal nafkah berbanding ayah yang culas bab memberi nafkah. Kedua-duanya masih ayah, namun yang mana satu ayah dalam erti kata sebenar?
Pastilah ayah yang bertanggungjawab, walaupun kedua-dua ayah tersebut masih seorang ayah.
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: “Siapakah orang yang paling disukai oleh Allah. Apakah amalan yang paling disukai Allah?”
Baginda menjawab: “Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang Muslim atau engkau angkat kesusahan yang menimpanya atau engkau langsaikan hutangnya atau engkau hilangkan kelaparannya. Dengan aku berjalan bersana saudaraku untuk suatu urusannya lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan.” (Riwayat al-Tabarani)
Teladan Para Nabi dan Rasul
Berkhidmat kepada umat ini rupa-rupanya bukan kerja golongan kelas bawahan. Ia juga bukan kerja hanya sebatas khidmat seorang hamba kepada tuannya. Namun ia kerja dan tugas para nabi dan rasul.
Jika kita teliti, banyak kali al-Quran menyebut tentang saranan supaya membuat kebaikan.
- Allah s.w.t. berfirman: “Wahai semua orang yang beriman, rukuk serta sujudlah (menunaikan solat) dan beribadatlah kamu kepada Tuhan kamu serta lakukanlah amal-amal kebaikan, semoga kamu berjaya (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Hajj 22: 77)
- Allah s.w.t. berfirman: “Dan Kami wahyukan kepada melakukan kebaikan.” (Surah al-Anbiya’ 21: 73)
- Allah s.w.t. berfirman: “Dan apabila ditanya kepada orang yang bertakwa: ‘Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Orang yang melakukan kebaikan di dunia ini mendapat balasan yang baik.” (Surah al-Nahl 16: 30)
Dan para rasul dan nabi sudah membuktikannya. Mereka antara yang terawal bertindak melakukan pelbagai kebaikan dan membantu yang memerlukan.
Nabi Yusuf |
Membantu mentafsir mimpi dua orang banduan. Nabi Yusuf kemudian digelar muhsin kerana sering berbuat baik kepada banduan lain. Allah berfirman: “Sesungguhnya kami melihatmu dalam kalangan orang yang baik.” (Surah Yusuf 12: 36) |
Nabi Musa |
Membantu dua orang perempuan mengambil air untuk haiwan ternakan mereka. Allah berfirman: “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka.” (Surah al-Qasas 28: 24) |
Siapa yang Untung?
Di dunia ini, kita menyangka individu yang banyak duduk saja-saja tanpa banyak bergerak atau bekerja sebagai sangat bertuah. Kononnya tidak habis tenaga, tidak penat, tidak perlu sakit hati berdepan kerenah manusia, tidak habis masa, wang ringgit juga selamat dan tidak terkejar-kejar menyiapkan pelbagai tugasan.
Namun manusia yang penatnya tidak mampu diungkap kerana banyak membantu manusia lain adalah manusia yang paling bertuah. Setiap hela nafasnya ada nilai kebaikan. Kebaikan itu pula tidak hanya terhad kepada lingkungan diri dan keluarganya sahaja, bahkan zon khidmatnya meluas sehingga melangkaui sempadan bangsa, agama, geografi dan bahasa.
Bahkan ketika membantu insan yang memerlukan, kita perlu mengubah set minda kita apabila bertanya soalan, siapa yang untung? Mungkin yang kita pandang adalah insan yang dibantu kerana beroleh pelbagai pemberian. Semua itu diperoleh secara percuma, bahkan disantuni pula oleh golongan sukarelawan.
Namun selain itu, insan yang membantulah yang paling beruntung. Dia beroleh pahala yang pasti akan membuat kita semua cemburu. Yang kita lihat ialah penat lelah, namun yang diperoleh kelak mungkin ganjaran syurga.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa ganjaran yang diberikan kepada individu yang membantu individu lain ini sangat besar ganjarannya:
Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah s.w.t. akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah s.w.t. akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ya, belum pernah lagi dengar orang yang membantu orang lain rugi. Ibarat bumerang, walaupun kita lempar ia jauh-jauh, ia akan berpatah balik kepada kita. Ibarat menghulurkan sekuntum bunga yang harum, sebelum bunga berpindah tangan pun, tangan kita sudah terlebih dahulu wangi.
Anekdot
Buat Baik, Dapat Baik
Kita lihat Nabi Yusuf yang dikenali sebagai muhsin (ornag yang baik). Kebaikannya tidak akan sia-sia. Walaupun diuji dari kecil dengan dibuang ke dalam telaga buta, menjadi hamba kepada pembesar Mesir dan kemudian dipenjarakan pula kerana difitnah, namun Nabi Yusuf tidak pernah berputus asa daripada melakukan kebaikan demi kebaikan.
Akhirnya, kebaikan memihak kepadanya. Allah angkat kedudukannya sehingga menjadi penguasa Mesir. Nabi Yusuf bebas tinggal di Mesir, tidak lagi terkurung di dalam penjara.
Allah menegaskan:
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan yusuf memegang kuasa di bumi Mesir. Dia bebas tinggal di negeri itu di mana-mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang yang melakukan kebaikan. (Surah Yusuf 12: 56)
Walaupun Khidmat Itu Kecil -sendal: lokasi bebas
|