Apakah antara perkara yang anda boleh usahakan bagi menambat hati mentua?
- Ubah diri dan bangunkan diri untuk menjadi orang yang baik. Syarat menjadi orang yang baik adalah baik dalaman dulu. Jika dalaman baik, maka ia akan terserlah ke luar.
- Wajah ialah cermin hati. Hati yang baik akan terpancar melalui raut wajah. Raut wajah pula akan menjadi cantik, bukan kerana kosmetik atau makanan tambahan, tetapi kerana cahaya hati.
- Perbaiki hubungan kita dengan Allah, Allah akan perbaiki hubungan kita dengan orang lain.
- Usir gambaran buruk tentang mentua. Tanggapan awal yang bertitik tolak daripada stereotaip tentang mentua juga perlu dihapuskan.
- Seorang isteri atau suami juga boleh memulakan langkah pertama. Ajak suami mengunjungi mentua. Suami juga boleh berbuat demikian. Dengan itu pasti mentua anda akan menyayangi anda kerana tidak memilih kasih antara ibu bapa kandung dengan mentua.
- Belikan hadiah untuk mentua. Berikan juga mereka duit ihsan jika anda berkemampuan. Malah anda boleh menaja perjalanan umrah atau haji mentua ke Tanah Suci.
- Didik anak-anak menghormati mentua. Cucu yang menghormati datuk dan nenek, menantu dan mentua yang saling sayang-menyayangi dan suami dan isteri yang tidak pernah kontang daripada mawaddah dan rahmah, pasti akan terbina rumah tangga sakinah.
- Mendahulukan keperluan mentua daripada keperluan diri sendiri. Apa salahnya mengalah sekali-sekala. Jika mentua mengetahui anda sanggup mengalah deminya, pasti mentua anda juga tidak akan teragak-agak mengalah dengan anda. What you give you get back.
- Anggap ziarah mentua ke rumah atau panggilan telefon mentua sebagai satu dos suntikan bahagia dalam rumah tangga anda.
- Raikan kedatangan mentua ke rumah dengan kasih sayang. Beri salam kepada mereka dan hulurkan tangan untuk bersalam.
Lengkapkan diri dengan kemahiran yang pasti akan membuatkan mentua anda bangga dengan anda. Carilah satu bakat, yang hanya anda berbakat tentangnya. Mungkin anda pakar memasak nasi ayam, sedangkan dalam kalangan keluarga besar anda dan suami anda tiada yang mampu menyediakan nasi ayam sesedap anda. Pasti mentua anda akan bangga dengan anda.