Tatkala Rasulullah s.a.w. bersama-sama 1400 orang sahabat dari Madinah sedang dalam perjalanan untuk mengerjakan ibadah umrah, mereka tiba-tiba ditahan dan dihalang daripada memasuki kota Makkah. Orang Quraisy tidak mahu membenarkan mereka memasuki Makkah, walhal tujuannya bukan untuk berperang.
Lalu Baginda dan para sahabat terpaksa berkhemah di luar kawasan Makkah iaitu di Hudaibiyyah. Pada masa yang sama, Uthman bin Affan dipilih sebagai utusan ke Makkah. Tujuannya untuk memberitahu penduduknya bahawa mereka bukan datang untuk berperang, tetapi hanya untuk mengerjakan umrah.
Malangnya, setelah beberapa hari Uthman tidak kembali. Pihak Quraisy pula tidak memberikan sebarang makluman tentang perkara ini sehingga timbul khabar angin bahawa beliau telah dibunuh. Kesannya, perkhemahan umat Islam menjadi kecoh.
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. mengetahui perkara ini, Baginda bersabda: “Kita tidak akan tinggalkan tempat ini melainkan setelah kita menentang kaum itu!”
Mendengar seruan Baginda itu, para sahabat beramai-ramai menyatakan taat setia mereka dengan berkata: “Kami berjanji tidak akan melarikan diri!”
Rasulullah s.a.w. mengambil baiah para sahabatnya itu di bawah sebatang pokok. Selain daripada dikenali sebagai Baiah al-Ridwan, peristiwa ini juga dikenali sebagai Baiah al-Syajarah. Sebatang pokok menjadi saksi taat setia yang luar biasa para sahabat kepada Baginda s.a.w.
Rujukan: Sirah al-Nabawiyyah, Ibn Hisyam.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.