December 9, 2023
Fokus SOLUSI

Taubat, Jangan Hanya Tahu Buat Sahaja

Kenderaan apabila sudah sampai masanya, perlu diservis di bengkel. Jikalau tidak, minyak pelincir yang sudah hitam itu bukan sahaja boleh mengurangkan prestasi enjin bahkan juga merosakkannya. Bukan itu sahaja, servis tersebut perlu dilakukan secara berkala sehinggalah akhir hayatnya.

Begitu juga dengan hati manusia. Ia juga perlu ‘diservis’ secara berkala juga. Caranya adalah dengan taubat. Namun, taubat tidak memiliki sebarang tempoh waktu. Ia bahkan boleh dilakukan pada bila-bila masa terutama sekali tiap kali melakukan kesalahan.

Walaubagaimanapun, kita semua mengetahui cara untuk bertaubat. Apa yang kita tahu, taubat hanya diperlukan apabila telah melakukan kesalahan dan dosa besar sahaja. Kita sebut sebagai ‘taubat nasuha’. Namun, adakah untuk kesalahan dan dosa kecil tidak memerlukan kita untuk bertaubat?

Bertepatan dengan tajuk isu kali ini ‘Taubat Perlu Bersungguh Jangan Bertangguh’, merangkumi dua jenis taubat. Taubat disebabkan melakukan dosa besar dan juga taubat setelah melakukan dosa kecil yang berulang kali itu.

Tanpa kesungguhan, niat untuk bertaubat sering berubah-ubah. Hari ini kata mahu tinggalkan perbuatan dosa dan maksiat, namun keesokkannya kembali melakukannya. Taubat juga perlu disegerakan. Tanpanya, niat untuk bertaubat itu akan sering ditangguhkan kerana merasakan ‘masih sempat lagi’.

Maka, sebab itu anggaplah taubat sebagai suatu bentuk ‘servis’ berkala yang kita perlu lakukan terhadap diri kita. Tidakkah kita rasa bersalah dan malu apabila dipanggil pulang ke hadrat-Nya dalam keadaan ‘rosak’?

Tidak perlu menunggu untuk melakukan kesalahan dan dosa besar baru mahu bertaubat. Sekecil-kecil kesalahan dan dosa yang dilakukan sekalipun perlulah meminta ampun kepada Allah SWT kerana bimbang, lama-lama ia akan ‘berkerak’ sehingga akhirnya menjerumuskan kita untuk melakukan kesalahan dan dosa yang besar.

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?