Telaga yang dikenali sebagai Telaga Uthman ini asalnya dipunyai oleh seorang lelaki Yahudi yang menjual airnya kepada orang Muslim. Sewaktu Rasullulah sampai di Madinah, tidak ada air yang sedap untuk diminum kecuali dari telaga ini.
Memandangkan keadaan ini Baginda berkata:
Sesiapa yang membeli telaga al-Rumah ini dan mewakafkan airnya kepada orang miskin, dia akan diberikan pahala berdasarkan setiap timba air yang disedekahkan itu dan kelak dia akan meminum air di dalam syurga.
Menurut riwayat Ibn Abd al-Bar, Sayidina Uthman bin Affan telah menawarkan diri untuk membeli telaga itu, namun Yahudi itu hanya bersetuju untuk menjual separuh daripadanya sahaja dengan harga 12,000 dirham. Giliran untuk mengambil air secara berselang hari juga turut dipersetujui antara mereka.
Maka pada hari giliran Sayidina Uthman, seluruh orang Islam datang mengambil air percuma itu untuk untuk bekalan selama dua hari supaya mereka tidak perlu membeli air daripada Yahudi itu pada keesokannya.
Melihat keadaan ini, Yahudi itu menyedari bahawa perniagaannya sudah mulai merosot lalu menawarkan untuk menjual kesemua telaga itu kepada Sayidina Uthman dengan tambahan sebanyak 8,000 dirham lagi, menjadikannya bernilai 20,000 dirham keseluruhannya.
Telaga ini masih wujud hingga hari ini. Telaga ini terletak kira-kira 1 km dari Masjid al-Qiblatain, iaitu di Jalan Abu Bakar al-Siddiq. Kini ia diletakkan di bawah jagaan Kementerian Air dan Pertanian Arab Saudi.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.