Pernah terfikir mengapa hidup di dunia penuh kesusahan dan ujian? Ini kerana kita diuji seketika dan sementara, manakala natijahnya nanti kekal selama-lamanya sama ada bahagia atau derita. Itulah, sebesar manapun derita di dunia, ia tetap tidak kekal. Ada masa, ia akan berlalu.
Dunia ini ibarat penjara bagi orang yang beriman. Ini kerana antaranya kita tidak boleh berbuat sesuka hati. Ada larangan dan tegahan. Ada suruhan yang perlu dilaksana yang tidak kena dengan citarasa nafsu.
Namun begitu, dunia juga ada kenikmatan tersendiri bagi orang yang beriman. Bagi hati yang reti bersyukur, sedikit sahaja nikmat yang Allah beri, sudah begitu besar ertinya. Bayangkan, bangun sahaja pagi dan kita boleh bernafas dengan lancar, manakala perut yang berkeroncong kenyang dengan hanya menyantap sarapan ringan, itu juga nikmat yang tidak mampu didustakan.
Itulah, sebesar mana pun nikmat di dunia, syurga jua tempat mengecap nikmat Allah SWT yang hakiki. Syurga sebenarnya satu bentuk balasan; balasan kepada Muslim yang mizannya sarat pahala. Ia balasan yang baik yang menjadi dambaan. Di sana ada kemuncak kenikmatan yang kekal, tidak tergambar dan nikmat itu senantiasa bertambah. Syurga dikisahkan dalam al-Quran dan hadis, namun ia tidak tergambarkan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Allah SWT berfirman: ‘Aku telah menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang saleh sesuatu yang belum pernah dilihat mata, belum pernah didengar telinga dan tidak pernah terlintas di benak manusia untuk hamba-hamba-Ku yang saleh.’” (Riwayat Muslim)
Justeru Solusi edisi terakhir ini, kami memilih kupasan yang berkaitan dengan destinasi terakhir impian semua Muslim iaitu syurga. Dengan itu, sama-sama kita hayati firman Allah SWT ini:
Dan masuklah ke dalam syurga-Ku. (Surah al-Fajr 89: 30)
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.