Biasanya apabila kita berkunjung ke kediaman sesiapa atau menyapa individu lain, kita menyapa dengan sebaik-baik kalimah, “Assalamu‘alaikum warahmatullahi wa barakatuh…”
Namun saat berkunjung ke rumah Allah pula, kita mengucapkan lafaz ini berulang kali:
.لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ، لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَ شَرِيكَ لَكَ
Maksudnya: “Daku datang menyahut panggilan-Mu ya Allah, daku datang menyahut panggilan-Mu. Daku datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu, daku datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.” (Riwayat Muslim)
Ini lafaz talbiah. Tanda kita hadir menunaikan haji dan menyahut seruan Allah. Dalam lafaz talbiah itu, kita mengakui keesaan Allah s.w.t. Dari awal hingga akhir talbiah, ia sarat dengan mesej tauhid dan ikrar tidak akan menduakan-Nya. Ia juga ibarat dialog kita dengan Allah, saat hadir ke Rumah-Nya. Menyapa penuh rasa kehambaan dan kesyukuran.
Talbiah ini sunat dinyaringkan (bagi jemaah haji lelaki) sehinggakan bukan telinga kita sahaja dengar, bahkan rakan di sebelah juga mampu mendengar. Bunyinya bersahut-sahutan dan terus-menerus sesama jemaah haji. Ia ikrar yang kita tidak sembunyikan. Ia rasa cinta yang kita serlah. Terasa gah, namun masih tawaduk.
Kalimah “aku datang” ini bukanlah datang sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kita datang untuk sedia menyembah Allah, sedia taat perintah dan tegah diri daripada cegahan Allah. Tanda komitmen dan iltizam kita menunaikan setiap kerja haji.
Namun, sebelum ke tanah suci pun hati sudah terpaku dengan kalimah ini. Terasa Kaabah melambai-lambai memanggil datang. Jika belum lagi ke tanah suci atau sudah ke sana, namun rindu tidak mampu dibendung, hayati lafaz talbiah ini.
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.