Hijrah merupakan sebuah perjalanan. Perjalanan yang penuh dengan cabaran. Bukan percutian yang merehatkan minda. Hijrah juga merupakan perpindahan. Namun ia bukanlah sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia satu perpindahan yang penuh risiko.
Terpisah dengan keluarga dan saudara mara serta tanah air tercinta. Terputus persahabatan dan kasih sayang. Hilangnya pekerjaan yang menjadi punca rezeki.
Semuanya perlu ditempuhi dengan gigih. Demi akidah!
Persiapan Hijrah
Isyarat untuk berhijrah telah diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. sepanjang tempoh berdakwah di Makkah. Antaranya melalui firman Allah:
Wahai para hamba yang beriman, bertakwalah kepada Allah. Kebaikan tersedia bagi orang yang berbuat baik di dunia ini. Bumi Allah itu luas. Sesungguhnya ganjaran yang tidak terhitung akan disempurnakan buat orang yang sabar. (Surah al-Zumar 39: 10)
Bumi Allah ini luas. Jika benih yang disemai tidak dapat bercambah dengan baik di satu bahagian, di sana masih ada bahagian lain yang mungkin benihnya akan menjadi lebih subur.
Ayat-ayat daripada surah al-Kahfi pula menyingkap beberapa lembaran kisah. Antaranya, kisah sekumpulan pemuda beriman yang berhijrah dari tanah tumpah darah mereka ke dalam gua. Kisah yang mendidik para sahabat bahawa terkadang ahli keluarga dan tanah air terpaksa ditinggalkan. Demi akidah!
Subscribe
Gain access to all our Premium contents.More than 100+ articles.