Kadangkala, kita ini pemangsa yang terperangkap dalam satu kitaran yang tidak berkesudahan. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah menjadi mangsa kepada bentakan nafsu dan godaan syaitan, kita terperangkap pula dalam pusaran dan kitaran tersebut.
Itulah yang orang kata, hulu malang, pangkal celaka. Ini permulaan segala mudarat. Ini malang yang tidak datang secara tunggal.
Aneh sekali, dalam keadaan fizikal yang keliru meronta-ronta ingin menentang fitrah dan lumrah, akal yang berpenat lelah mewajarkan tindakan itu, emosi yang sering tersungkur dan rohani yang kian parah, nafsu pula yang makin kuat berjuang dan menerajang.
Dalam keadaan sebegini, apa yang perlu kita lakukan?
Mudah sahaja, semudah keluar daripada kitaran (vicious circle) tersebut. Kita kena ingat, itu lingkaran yang ganas, kejam dan dahsyat. Mampukah kita berlama-lama di situ? Tidak sesakkah hati? Keluar sahaja… Jangan lagi lengah dan tangguh. Jangan sampai iman makin lemas dan lemah.
Kitaran Ganas
Kitaran ini sering berulang-ulang dalam hidup kita. Namun ada hijrah yang boleh kita lakukan sehingga rantaian tersebut tidak berulang lagi. Ia lingkaran ganas (vicious circle) yang kita tidak ingin terperangkap dalamnya.
- Syaitan menggoda dan nafsu membujuk.
- Termakan pujukan dan godaan syaitan serta kehendak nafsu.
- Melakukan kemungkaran dan maksiat.
- Berasa lega dan seronok pula.
Vicious cycle di atas boleh dipecahkan. Caranya, keluar daripada kitaran tersebut.
- Syaitan menggoda dan nafsu membujuk.
- Termakan pujukan dan godaan syaitan serta kehendak nafsu.
- Melakukan kemungkaran dan maksiat.
- Menyesal dan bertaubat tidak akan melakukannya lagi.
Saat ini, ucapkan selamat tinggal kepada pemangsa. Kita tidak ingin lagi menjadi mangsa!
Undur Diri
Bagi golongan LGBT, ini antara perkara yang perlu dilakukan bagi mengheret diri keluar daripada kitaran tersebut:
- Akrab dengan Allah
Nampak biasa dan remeh. Namun ini antara perkara asas dan dasar yang perlu diberi perhatian penuh. Sifir mudahnya begini:
Andai kita makin akrab dengan Allah | Makin jauh daripada maksiat | Hati yang akrab dengan Allah akan berasa malu untuk melakukan dosa-dosa besar, apatah lagi perbuatan terkutuk. |
Andai kita makin jauh daripada Allah | Makin dekat dengan maksiat | Andai makin jauh daripada Allah, mulalah syaitan menjadi penasihat peribadi secara sukarela. Dihiasnya maksiat kelihatan lazat dan indah. |
2. Sokongan sosial
Jangan berada dalam kumpulan yang mempunyai kecenderungan songsang. Sebaliknya larilah kepada kumpulan sokongan yang boleh membantu diri kita untuk berhijrah. Kini, kita ada PAFI (Pertubuhan Amal Firdausi) yang berpusat di Ampang. Antara aktivis yang turut bersama-sama PAFI ialah Ustaz Hanifiah Malik yang tidak pernah lelah membantu golongan LGBT. Namun malangnya, PAFI sudah ditutup.
Selain itu, pihak majlis agama juga boleh didekati. Mereka tidak bersikap melabel atau mengeji, sebaliknya sudi membantu. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) contohnya, mengeluarkan satu fatwa yang begitu meraikan golongan LGBT yang perlukan bantuan. Bahagian Pemulihan al-Riqab. Ini antara usaha mereka yang wajar dipuji.
Namun cara paling mudah, keluar daripada kelompok songsang, bergaul dengan orang soleh.
3. Terlalu sibuk
Ini antara cara yang sangat berkesan bagi membantu kita melupakan gian kepada perkara mungkar. Sibukkan diri dengan ibadat atau apa-apa sahaja perkara yang memberi manfaat.
Hukum diri dengan taat! Biar maksiat yang terasa manis kita pinggirkan. Biar dekat dengan taat walaupun ia terasa kelat.
Apa situasi yang kita ingin cipta hasil daripada penat ini? Kita ingin minda dan hati kita tidak sempat berfikir tentang naluri songsang. Kita tidak ingin ada masa lapang bersantai-santai sebelum tidur dan berfikir tentang nafsu yang membuak. Kita ingin tidur dalam lelah, sehinggakan letak sahaja kepala, terus terlena.
Itu lena yang ada nilai ibadah. Sekurang-kurangnya lena itu menjadi menutup pintu keinginan kepada maksiat walau seketika.
4. Rawat
Permulaan kepada penyelesaian sesuatu masalah ialah mengiktiraf bahawa kita ada masalah. Seandainya kita berada dalam situasi menafikan dan beria menggelengkan kepala, bagaimana kita ingin menyelesaikan masalah yang pada kita bukan masalah?
Pada tahun 2004, kecenderungan golongan LGBT telah dikeluarkan daripada senarai penyakit psikologi.
Selain itu, terdapat beberapa langkah lagi yang boleh dilakukan seperti:
- Lazimi solat kerana solat boleh mencegah perbuatan mungkar dan terkutuk.
- Taubat nasuha.
- Sabar dalam usaha meninggalkan maksiat.
- Berasa malu kerana tahu bahawa Allah memerhati setiap gerak geri kita setiap saat.
- Berpuasa.
- Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah.
- Tundukkan pandangan.
- Menjauhkan diri daripada sebarang unsur yang boleh membangkitkan rasa syahwat.
- Jangan putus asa.
- Cuba timbang dan takar akibat setiap perbuatan mungkar.
- Jangan pernah lupa mendoakan diri sendiri.
Pendam dan Padam
Kita tahu, tidak semua individu yang mempunyai kecenderungan songsang ini berdosa. Mungkin ada yang keinginan songsang itu kekal sebagai bisikan hati. Mereka tidak pernah meraikan naluri songsang. Bahkan mereka berjuang. Cuba untuk pendam dan padam.
Allah… bukan mudah. Bukan mudah berdepan dengan hati dan psikologi sendiri yang melawan norma.
Bagi golongan sebegini, jangan lakukan perkara berikut:
1. Jangan terjemahkan dalam bentuk perbuatan
Allah tidak menghukum rasa hati yang dipendam andai tidak diterjemahkan kepada perbuatan. Sebab itulah, seorang lelaki yang memasang niat ingin mencuri, tidak dikira berdosa kerana mencuri selagi tidak betul-betul mencuri.
Bahkan tatkala niat buruk singgah di hati dan kita berjaya melawan, ada pahala pula yang dikredit ke dalam akaun amalan peribadi.
2. Jangan promosi
Dosa peribadi, Allah minta kita tutup rapat-rapat. Dosa yang terselindung di sebalik pintu bilik atau rumah kita, jangan dedahkan ke luar. Pendek kata, jangan berbangga dengan dosa dan maksiat.
Paling penting, jangan sampai menjadi aktivis yang menggalakkan dosa merebak.
3. Jangan terjebak dalam dosa besar
Satu sahaja maksiat yang kita buat, asalnya kekok, lama-lama jadi seronok. Lama-lama, teringin mencuba maksiat lain. Itu evolusi dosa. Tidak pernah cukup dan selalu ingin ditambah-tambah.
Jadi, jangan berlama-lama, dikhuatiri dosa kecil boleh membawa kepada dosa besar.
4. Jangan putus asa
Jangan risaukan hasil, asalkan kita terus berusaha.
Aku Mahu!
Senaraikanlah apa-apa sahaja jalan keluar, andai diri kita sendiri tidak gagah dan gigih, maka tiada gunanya. Andai diri kita sendiri selesa berada dalam kitaran tersebut, agak susah untuk berubah. Akhirnya, kita faham sesuatu. Ya, jalan keluar itu rupa-rupanya begitu kecil dan kerdil berbanding semangat juang kita sendiri.
Cuba bangun. Berdiri! Pandang diri dengan tinggi. Bukankah dosa itu tidak berbau? Jadi, jangan malu. Andai kita berjaya melawan semua itu, kita sudah menjadi pahlawan yang menang berperang dengan nafsu sendiri.
Etika Anti-LGBT
Bagi golongan yang anti dengan golongan LGBT pula, jangan berlepas diri daripada senarai do dan don’t di bawah. Jika LGBT diuji dengan mujahadah sedemikian rupa, maka kita juga apa kurangnya. Kita juga diuji sama ada membantu golongan LGBT yang perlukan suluhan atau tidak. Kita diuji kesabaran, mulut yang terasa ingin mengeji, bahkan air muka kita mencemik juga mungkin akan dipersoalkan.
Do | Don’t | ||
1 |
Setiap individu boleh berperanan menegur secara berhikmah. Ikut kapasiti masing-masing:
Apa-apa sahaja, asalkan kita tidak mengutuk usaha mana-mana pihak. |
1 |
Jangan memaki atau mencaci. Bukankah Nabi Lut tidak pernah mengeji pelaku, sebaliknya hanya mengutuk perlakuan sahaja. Budaya membuli terutamanya di media sosial perlu dihentikan. Fokus kepada memberi solusi. Dampingi mereka dengan rahmah.
|
2 |
Bimbing individu atau kumpulan yang memerlukan bantuan kita. |
2 |
Jangan menyokong atau memuji. Ia seolah-olah lampu hijau yang mengangkat kecelaruan gender ke satu aras iaitu normalisasi. |