Gobook WAHYU Hadis Renjis muka untuk kejutkan bangun solat sunat? Ini anjuran hadis di bawah…
Hadis WAHYU

Renjis muka untuk kejutkan bangun solat sunat? Ini anjuran hadis di bawah…

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلًا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ، فَصَلَّى، وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ، فَصَلَّتْ، فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ، وَرَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ، فَصَلَّتْ، وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا، فَصَلَّى، فَإِنْ أَبَى، نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ.

Maksudnya: “Allah merahmati seseorang lelaki (suami) yang bangun malam, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan isterinya, lalu isterinya (bangun) menunaikan solat. Sekiranya isterinya enggan (bangun), dia akan merenjiskan air pada wajah isterinya. Allah (juga) merahmati wanita (isteri) yang bangun malam, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan suaminya, lalu suaminya (bangun) menunaikan solat. Sekiranya suaminya enggan (bangun), dia akan merenjis air ke wajah suaminya.” (Riwayat Ahmad)

Pemahaman Hadis

  • Hadis ini berkisar tentang qiamullail. Hukum asal menunaikan qiamullail adalah sunat mu’akkad.
  • Wanita atau isteri dalam hadis tersebut sebenarnya termasuk juga anak-anak dan saudara mara terdekat.
  • Dikira sudah menunaikan solat walaupun sekadar dua rakaat.
  • Punca enggan bangun menunaikan solat malam ini banyak; antaranya disebabkan mengantuk atau malas.

Aplikasi

  1. Mengejutkan pasangan kita bangun menunaikan solat sehingga disarankan boleh merenjiskan air ke muka? Kalau dilihat dari sudut pandangan manusia tanpa panduan wahyu, pasti kita merasakan seolah-olah ia melanggar hak asasi manusia. Namun tidak begitu dalam konteks kita mahu sama-sama hidup sejahtera di akhirat kelak.
  2. Perbuatan merenjis muka merupakan tindakan yang dilakukan bagi membangunkan orang yang sedang tidur. Namun pelbagai cara lain masih boleh digunakan asalkan bersesuaian.
  3. Perbuatan merenjis muka juga menunjukkan usaha yang dilakukan bagi memastikan ahli keluarga kita turut sama-sama dapat menunaikan ibadah.
  4. Ahli keluarga boleh saling mendorong dan membantu ke arah menjadi hamba Allah yang abid.
  5. Manusia mungkin kurang suka dikejutkan bangun dari tidur, namun sebelum apa-apa, Allah sudah menyatakan, “Allah merahmati”.
  6. Setiap ahli keluarga boleh sama-sama saling mengingatkan agar kita boleh berterusan melakukan ibadah dan ketaatan tanpa mengabaikannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version