Gobook SOLUSI Fokus Kenal Nabi Secara Personal
Fokus SOLUSI

Kenal Nabi Secara Personal

Jika kita insan biasa dapat kenal selebriti, agamawan atau negarawan terkemuka dunia, mungkin terbit rasa megah tak terkata. Atau sekurang-kurang pernah bertemu beberapa saat sahaja pun dan merakam momen indah itu, pasti memoir itu tidak akan sirna dari minda. Insan lain yang dapat tahu pun tumpang kagum.

Betapa beruntungnya kita umat Islam, ada peluang dan ruang kenal Nabi. Ya, kenal Nabi ini bukan perkara kecil.

Yang kita kenal ini Nabi Muhammad!

Populariti Baginda merentas sempadan masa dan geografi. Ini Nabi yang menjadi tumpuan ramai, tidak kiralah orang yang mencintai atau memusuhi Baginda. Tidak terhad kepada manusia, bahkan seluruh alam mampu merasai rahmatnya.

Alang-alang kenal Nabi, apa kata kita kenal Baginda secara personal. Bukan kerana kita hidup sezaman dengannya, namun disebabkan kebaikan dan ajaran yang Baginda bawa tersebar meluas. Syukur, karakter dan ciri peribadi Nabi sampai ke pengetahuan kita melalui riwayat hadis yang dikumpulkan perawi. Setiap kata-kata Baginda, direkod dengan begitu teliti. Setiap perilaku Baginda, diceritakan kembali oleh para sahabat, disampaikan pula sebagai inspirasi yang menghidupkan jiwa.

Anehnya, kalaulah kita kenal manusia biasa dengan lebih mendalam dan dekat, pasti akan terserlah “warna sebenar” dirinya. Ketika itu, boleh jadi kita tahu baik buruk individu tersebut. Tetapi tidak begitu dengan Rasulullah. Semakin kita kenal Baginda, semakin banyak sisi baik terserlah, bahkan tiada langsung peribadi atau perilaku yang tidak molek. Semuanya elok-elok belaka.

Semua itu bukti betapa beruntungnya andai kita kenal Nabi. Daripada kenal ini, lahirnya cinta. Daripada cinta pula, mendorong taat. Daripada taat, mencipta harap. Berharap semoga mampu menumpang minum di Telaga Baginda di mahsyar dan memperoleh syafaat.

Akhirnya, sedar atau tidak, kenal Nabi secara personal ini sebenarnya tugas yang kita perlu galas bagi membalas jasa dan masa yang Baginda sudah peruntukkan untuk kita.  Bahkan ia juga boleh menjadi benteng kita mempertahankan Nabi saat Baginda dihina.

Subscribe

Gain access to all our Premium contents.
More than 100+ articles.

Buy Article

Unlock this article and gain permanent access to read it.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version