March 29, 2024
Al-Quran & Tafsir WAHYU

Sindiran Allah kepada Mereka yang Tidak Mahu Mendengar dan Melihat Kebenaran

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu) bahawa Kami telah binasakan banyak daripada kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar? Dan tidakkah mereka itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering-kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati?”

(Surah al-Sajdah 32: 26-27)

Tafsiran Ayat

Ibn Kathir
Ayat 26

Menurut Ibn Kathir, Allah bertanya kafir Quraisy tentang kesudahan orang yang telah mendustakan para rasul sebelum mereka? Mereka semua telah dimusnahkan oleh Allah.

Bahkan ada dalam kalangan kaum tersebut tidak memiliki sebarang tanda atau peninggalan pun setelah dibinasakan Allah. Sedangkan orang kafir Quraisy berjalan dan melalui kawasan penempatan kaum yang telah dibinasakan itu, namun tidak melihat langsung sebarang tanda bahawa tempat tersebut pernah dihuni manusia. Semuanya telah lenyap.

Kebinasaan mereka yang mendustakan para rasul serta keselamatan buat mereka yang beriman menjadi tanda-tanda yang jelas.

Ayat 27

Ayat ini menyebut bahawa itulah pemberian Allah SWT. Dia menurunkan hujan di kawasan yang tidak ditumbuhi sebarang tanaman (kering kontang). Kemudian setelah hujan, tumbuhlah tanaman yang setelah itu dimakan pula oleh binatang. Manakala sebahagian daripada tanaman tersebut dimakan juga oleh manusia. Kemudian datanglah pertanyaan daripada Allah sekali lagi, “Tidaklah orang kafir Quraisy memerhatikan semua itu?”

 

Jadilah Orang yang Peduli

Orang Arab Quraisy di Makkah terkenal sebagai pedagang. Mereka berdagang semasa dua musim iaitu musim panas dan musim sejuk. Sudah tentu perjalanan untuk ke Syam itu akan melalui satu kawasan yang bernama Mada’in Salih yang terletak di utara Makkah.

Kawasan ini suatu ketika dahulu merupakan tempat tinggal suatu kaum yang hebat. Mereka berkeupayaan memahat bukit bukau untuk dijadikan rumah. Siapakah kaum itu? Itulah kaum Thamud iaitu kaum Nabi Salih AS.

 

Firman Allah Tentang Kaum Thamud
Diutuskan Rasul Reaksi Azab

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan kepada kaum Thamud, saudara mereka, Nabi Salih.” (Surah al-Naml 27: 45)

“Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya (Nabi Salih AS).” (Surah al-A’raf 7: 76)

“Mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka lakukan.” (Surah Fussilat 41: 17)

Nabi Salih AS Menolak Dibinasakan

 

            Akhirnya kaum Thamud dibinasakan Allah. Tatkala Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kaum Quraisy, ada dalam kalangan mereka yang menentang Baginda. Walhal, selama ini mereka sering sahaja melalui Mada’in Salih, namun seolah-olah mereka tidak peduli tentang azab yang menimpa kaum Thamud yang mengingkari rasul mereka.

            Memandangkan kaum tersebut telah dibinasakan, mana mungkin mereka dapat melihat kesan-kesan peninggalan mereka. Sebab itu, Allah SWT mengajukan persoalan, “Tidakkah mereka mendengar?” Sudah pasti mereka pernah mendengarnya. Namun kerana sombong, mereka mengabaikan sahaja berita tentang kaum Thamud itu. 

Nikmat yang Perlu Diperhatikan

Menerusi ayat ke-27 pula, Allah SWT menyindir kafir Quraisy yang tidak mahu memerhatikan kekuasaan dan kehebatan-Nya pada alam sekeliling. Manusia yang bersih hatinya akan melihat alam ini sebagai suatu “karya” yang menakjubkan. Bermula dengan hujan yang turun dari langit, airnya dimanfaatkan oleh biji-biji benih untuk tumbuh dan bercambah. Kemudian setelah itu, menjadi sumber makanan kepada binatang dan manusia sendiri.

Imam al-Alusi menerusi tafsirnya Ruh al-Ma‘ani mengatakan bahawa Allah SWT mendahulukan binatang daripada manusia kerana:
Binatang lebih banyak mendapat manfaat daripada tumbuh-tumbuhan berbanding manusia. Menurut konsep takdim dan takhir, manusia disebut kemudian sebagai tanda taraf manusia lebih mulia berbanding binatang. Kadangkala yang disebut kemudian lebih mulia dan utama berbanding yang disebut terlebih dahulu.

 

            Segala nikmat yang Allah SWT ceritakan ini dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, bagi orang yang tidak beriman kepada-Nya, semua itu tidak memberikan apa-apa makna kerana mata hatinya sudah tertutup. Samalah dengan orang kafir Quraisy yang tidak beriman walaupun tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT ada di hadapan mata mereka.

Iktibar dan Peduli Persekitaran

Orang yang beriman perlu mengambil iktibar daripada sikap orang kafir Quraisy Makkah yang tidak mahu peduli dan tidak mahu memerhatikan. Mereka bukan sahaja tidak kisah dengan perkara yang tidak dilihat dengan mata kepala sendiri, bahkan perkara yang terpampang di hadapan mata pun tidak dipedulikannya.

Justeru, seorang Mukmin perlu cakna dengan keadaan sekeliling. Walaupun tidak dapat melihatnya, setidak-tidaknya kita mengambil tahu tentang perkara tersebut. Umpamanya ibadah haji. Orang yang tidak berpeluang untuk menunaikan haji tidak bermakna kewajipan ibadah itu boleh diabaikan begitu sahaja. Masih boleh mendengar pengalaman mereka yang sudah berpeluang menunaikannya. Begitu juga dengan fenomena alam yang berlaku di sekeliling kita. Semua itu dapat dilihat bagi meningkatkan lagi rasa keimanan kita kepada Allah SWT.

“Mengapa tidak mendengar dan tidak melihat?” Itulah sindiran Allah SWT kepada orang kafir Quraisy, sekali gus menjadi peringatan untuk kita semua selaku orang yang beriman kepada-Nya. Dengan cara itulah ilmu diperoleh.

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah. Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir "KULTUM" (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian "kultum ust zahazan".
Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?